TRIUMPH Speed 400 (2023) Rasmi Masuk India, Harga Pengenalan Istimewa RM 12.6k Je!
7/8/20231 min read
SELEPAS debut globalnya hujung bulan lalu di UK, satu model yang kehadirannya di pasaran tempatan turut dinantikan dari jenama Triumph, Triumph Speed 400 (2023) akhirnya membuat penampilan rasmi dan sudah mempunyai tanda harga di pasaran 'kembarnya' India.
Seperti diumumkan ketika pelancarannya di London, Triumph Speed 400 (2023) adalah model yang dibina hasil kerjasama syarikat pengeluar motosikal UK, Triumph dan pengeluar gergasi India, Bajaj.
Tetapi ia langsung tidak menggunakan logo atau lencana Bajaj dengan trenkuasa yang digunakan adalah enjin baharu yang dibangunkan Triumph dan diposisikan dalam siri TR.
Dan seperti dijangka, harga jualannya di pasaran India memang cukup 'menggembirakan' iaitu Rs. 223,000. Jika ia ditukar kepada mata wang Ringgit, harganya adalah RM 12,600.
Tetapi harga berkenaan adalah terhad kepada 10,000 pembeli pertama - dan berkemungkinan besar sudah habis ketika laporan ini disiarkan sebelum harganya kembali kepada asal iaitu Rs. 233,000 (RM 13,165).
Dan sedikit mengecewakan, harga rasmi untuk model 'kembarnya' Triumph Scrambler 400X (2023) belum diumumkan.
Mengulas ringkat trenkuasa Triumph Speed 400 (2023), ia dipadankan dengan enjin bersesaran 398 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihasilkan adalah 39.5 Hp pada 8,000 rpm dan 37 Nm pada 6,500 rpm.
Menggunakan kerangka 'Hybrid spine/perimeter, tubular steel, bolt-on rear subframe', ia dipadankan dengan teknologi ‘ride-by-wire’ dan antara ciri elektronik yang dimiliki termasuklah Kawalan Traksi, klac dengan fungsi ‘torque-assist’ dan panel meter gabungan analog dan digital LCD.
Sistem brek menggunakan cakera tunggal 300 mm dengan kaliper 4 piston (depan) dan cakera tunggal 230 mm bersama kaliper 1 piston (belakang) dan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan informasi penting lain termasuklah kapasiti tangki bahan api 13 liter, sistem kunci Immobilizer dan sistem lampu LED penuh.