TRIUMPH Speed 400, Scrambler 400X (2024) Rasmi Di Malaysia, Mula RM 26.9k, Penantian Berakhir!

PELANCARAN

4/26/20241 min read

PENANTIAN panjang peminat tempatan untuk menunggang dua penawaran terbaharu Triumph Motorcycle Malaysia - Triumph Speed 400 dan Triumph Scrambler 400X (2024) - akhirnya dinoktahkan hari ini.

Sejak diumumkan kehadirannya pada penghujung tahun lalu dan disusuli dengan pengumuman membabitkan harganya, Triumph Speed 400 dan Triumph Scrambler 400X (2024) menjadi antara model paling dinantikan daripada jenama UK itu.

Dan menariknya, tiada perubahan membabitkan harga diumumkan dengan Triumph Speed 400 (2024) kekal dengan harga RM 26,900 (asas) manakala Triumph Scrambler 400X (2024) dijual pada harga RM 29,900 (asas).

Turut berlangsung bersempena pelancaran rasminya adalah majlis penyerahan unit-unit yang ditempah sebelum ini selain berkonvoi di sekitar Kuala Lumpur.

Seperti diketahui, Triumph Speed 400, Scrambler 400X dihasilkan Triumph dengan kerjasama syarikat pengeluar motosikal gergasi India, Bajaj.

Tetapi, enjin yang digunakan dalam platform ini adalah enjin serba baharu yang dibangunkan oleh Triumph sendiri menerusi platform TR-Series sekaligus berbeza dengan trenkuasa Bajaj Dominar D400 atau KTM 390.

Mengulas ringkas trenkuasanya, kedua-dua model dijana enjin bersesaran 398 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair dan digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 39.5 Hp dan tork 37 Nm.

Sekalipun dipadankan dengan trenkuasa yang sama, namun ia diberikan talaan yang berbeza sesuai dengan segmen masing-masing.

Dan tampil dengan gaya 'neo retro cafe racer', Triumph Speed 400 (2024) lebih berorientasikan 'on-road' manakala Scrambler 400X tampil dengan penggayaan lebih lasak, agresif serta mampu melenjan laluan 'off-road' ringan.

Berdasarkan info, kesemua 'batch' pertama unit yang diperuntukkan untuk Triumph Speed 400 dan Triumph Scrambler 400X (2024) di Malaysia sudah habis dijual ketika ini dan Triumph Motor Malaysia sedang berusaha untuk membawa masuk 'batch' kedua daripada Thailand.

Selain Malaysia, Triumph Speed 400 dan Triumph Scrambler 400X (2024) dikatakan cukup popular di rantau Asia Tenggara berikutan penawaran harganya yang menarik dan lebih menarik, harga yang diumumkan di Malaysia menurut pengimportnya Didi Group adalah antara yang terendah.