TRIUMPH T120 Bonneville Elvis Edition (2024) Diperkenalkan, Terhad 925 Unit!

TERKINI

6/19/20241 min read

TRIUMPH, sebagai penghargaan kepada legenda muzik Rock & Roll, Elvis Presley, baru-baru ini memperkenalkan model edisi terhad Triumph T120 Bonneville Elvis Edition (2024).

Sebagai model edisi terhad, Triumph T120 Bonneville Elvis Edition (2024) hanya dihasilkan sebanyak 925 unit pasaran seluruh dunia.

Cukup popular dengan julukan 'Raja Rock & Roll', Elvis turut dikenali sebagai seorang pencinta motosikal dan antara yang diminati dan berada dalam garajnya adalah Triumph T120.

Dari sudut skema warna dan corak grafik, Triumph, Triumph T120 Bonneville Elvis Edition (2024) menggunakan inspirasi daripada persembahan TV istimewa bintang itu 'Comeback Special' pada 1968.

Dipadankan dengan skema warna 'Carnival Red' di bahagian tangki petrol, antara yang istimewa adalah penggunaan 'decal' Elvis berwarna keemasan berserta tanda tangan.

Turut dipadankan dengan corak grafik sama adalah di bahagian panel sisi motosikal berkenaan.

Sebagai model unit terhad, Triumph Bonneville T120 Elvis Presley Edition (2024) turut memiliki nombor unit yang diposisi di bahagian bar hendal selain pelbagai kemasan 'krom'.

Di bahagian 'mud guard' depan, turut tertera lencana TCB yang bermaksud 'Taking Care of Business'.

Mengulas trenkuasa, Triumph T120 Bonneville Elvis Edition (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 1,200 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, ‘270-degree crank', Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, SOHC.

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 78.9 Hp pada 6,550r pm dan tork 105 Nm pada 3,500 rpm.

Lebih menarik, setiap pembelian Triumph T120 Bonneville Elvis Edition (2024) turut akan menerima cakera muzik istimewa berwarna emas yang menampilkan corak grafik Elvis Presley & Triumph.

Tidak diketahui sama ada Triumph Motor Malaysia memiliki perancangan untuk membawa Triumph T120 Bonneville Elvis Edition (2024) ke pasaran tempatan namun jika ada permintaan, ia mungkin dilaksanakan.