TRIUMPH Tiger 900 GT Aragon Edition (2023) Kini Di Malaysia, Asas RM 81k!

PELANCARAN

10/1/20232 min read

MOTOSIKAL yang dihasilkan untuk meraikan kejayaan Triumph Motorcycles di perlumbaan Baja Aragon tahun lalu, Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition (2023) akhirnya membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia.

Seperti kebanyakan versi edisi istimewa lain, Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition (2023) tampil dengan skema warna dan corak grafik menarik selain penambahan dari sudut aksesori.

Menggunakan gabungan tiga warna Diablo Red, Matt Phantom Black dan Crystal White, motosikal berkenaan turut dipadatkan dengan lencana GT Aragon di bahagian panel termasuk di sisi dan paruh.

Dan harga jualan yang diumumkan juga menarik - lebih murah berbanding varian standard - RM 81,000 (asas).

Kepada yang tak tahu, Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition diraikan bagi meraikan kejayaan Ivan Cervantes yang memenangi perlumbaan Baja Aragon 2022 - perlumbaan yang dilabel antara paling sukar dalam segmen lasak.

Dan seperti dijangka, Cervantes menggunakan jentera Triumph Tiger 900 Rally Pro. Lebih mengagumkan, Cevantes memenangi perlumbaan lasak dengan jarak 450 km itu dengan kelebihan 1 jam 6 minit di depan pencabar terdekatnya.

Mengulas bahagian trenkuasa, Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition (2023) kekal menggunakan enjin bersesaran 888 cc, 3 Silinder Sebaris, 12 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan ‘assist & slipper’.

Kuasa yang dihamburkan adalah 93.9 Hp pada 8,750 rpm dan tork 86.78 Nm pada 7,250 rpm.

Sebagai antara motosikal termoden Triumph, Triumph Tiger 900 GT Aragon Edition (2023) turut datang dengan empat mod tunggangan - Rain, Road, Sport dan Off-Road.

Sistem bantuan tunggangan elektronik yang turut dipadankan termasuklah Kawalan Traksi dan 'Optimised Cornering ABS'.

Ciri-ciri lain termasuklah panel meter TFT berwarna lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit, port pengecas USB 5 Volt. Informasi lain termasuklah ketinggian pelana 810 - 830 mm, berat 194 kg dan kapasiti tangki bahan api 20 liter.

Di bahagian suspensi, motosikal ini dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) Marzocchi 45 mm boleh laras penuh dan penyerap hentak tunggal Marzocchi dengan ciri pelarasan (preload, rebound).

Sistem brek juga tampil premium dengan penggunaan cakera berkembar 320 mm dengan kaliper Brembo Stylema 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 255 mm dengan kaliper Brembo 1 Piston (belakang).

Turut datang secara standard bagi model edisi istimewa ini adalah lampu kabus dan pelindung enjin selain pelbagai aksesori tambahan yang boleh dipadankan bagi menambah 'kehenseman' motosikal berkenaan.