TROFI Ini Untuk Malaysia - Hakim Danish

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/28/20241 min read

"Ini untuk Malaysia," itu kata pelumba tunggal negara di pentas Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024, Hakim Danish Ramli sambil menjulang trofi tempat kedua yang dimenanginya di Jerez, Sepanyol, hari ini.

Selepas sedikit bergelut pada Perlumbaan 1, semalam yang menyaksikannya menamatkan aksi di tangga ke-9, prestasi lebih baik ditampilkan pelumba kelahiran Terengganu itu pada Perlumbaan 2.

Malah, Hakim Danish, 17 tahun hampir memenangi perlumbaan berkenaan sebelum dipintas di garisan penamat dengan hanya 0.006 saat perbezaan untuk bergelar juara.

Dalam perlumbaan yang keputusan terpaksa ditentukan menerusi 'photo finish', kemenangan menjadi milik pelumba tuan rumah, Alvaro Carpe dan melengkapkan podium seorang lagi pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe.

"Saya memperoleh permulaan yang baik," kata Hakim Danish mengulas aksinya di Jerez.

"Pusingan pertama agak mencabar kerana licin, keadaan litar juga lembab ketika mengharungi selekoh.

"Selepas itu, saya kembali mendapat rentak, cuba untuk mengejar pelumba di depan. Saya agak bergelut ketika itu kerana perlumbaan agak laju, dan ketika Carpe memintas saya, saya cuba mengikutinya.

"Dan pada dua pusingan terakhir banyak aktiviti pintas memintas berlaku, saya juga cuba untuk memintas untuk kekal posisi saya kerana nak dapat podium ini dan Alhamdulillah, saya berjaya dapat tempat kedua."

Mengulas lanjut, Hakim Danish mengakui lega prestasinya bertambah baik dan dapat memperbaiki kesilapan yang dilakukannya pada Perlumbaan 1.

Keputusan Perlumbaan 2 menyaksikan Hakim Danish mengisi tangga kelima carta keseluruhan pelumba selepas mengumpul 27 mata.

Pusingan 2 RBMRC 2024 selepas ini dijadual berlangsung di Litar Le Mans, Perancis pada 11 dan 12 Mei ini.