TUAH 'Ekor Malaya', Derrick Gan Dapat Hadiah Skuter Karisma 125S Dari Modenas!

TERKINI

1/28/20241 min read

DEDIKASI seorang peminat Harimau Malaya yang menjual motosikalnya untuk mengumpul dana ke Qatar bagi menyokong pasukan kebangsaan di Piala Asia 2024 mendapat perhatian Modenas.

Kagum dengan semangat yang ditampilkan Derrick, Modenas mengambil inisiatif menghadiahkan pemuda dari Melaka itu sebuah skuter keluaran syarikat itu, Modenas Karisma 125S.

Majlis penyerahan ringkas itu dibuat sejurus Derrick tiba di tanah air, malam semalam.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

"Cerita Derrick memberikan kesan kepada kami, yang menunjukkan semangat sebenar peminat bola sepak Malaysia sejati," kata Roslan.

"Modenas bangga untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, dan kami berharap yang yang Modenas Karisma 125S baharu ini akan memudahkan perjalanannya."

Derrick dalam pada itu mengakui tidak menjangkakan perkara berkenaan.

"Terima kasih tidak terhingga kepada Modenas atas kejutan luar biasa ini dan saya tidak sabar untuk terus menyokong Harimau Malaya dengan Modenas Karisma 125S baharu saya ini," kata Derrick.

Dengan gaya rambut yang unik, Derrick menjadi perhatian selepas gambarnya menangis ketika perlawanan Malaysia menentang Korea Selatan dalam saingan Piala Asia 2023 tular.

Apa yang menarik, Derrick sanggup menjual motosikal Yamaha LC miliknya untuk mendapatkan dana ke Qatar.

Turut ada bersama majlis penyerahan itu adalah stesyen radio terkemuka, Era.fm.