TUGAS Saya Naikkan Nama JDT Racing Team Di Arena Sukan Permotoran 2 Roda - Hafizh Syahrin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/10/20231 min read

NAMA yang cukup gah dalam sukan permotoran dua roda negara, Hafizh Syahrin Abdullah menegaskan tanggungjawabnya di JDT Racing Team adalah untuk menaikkan 'Jenama' itu ke tahap lebih tinggi dalam arena berkenaan.

JDT Racing Team sah menyertai saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim 2024 dan sekalipun perinciannya masih belum didedahkan, antara pelumba berwibawa menyertai pasukan itu adalah Hafizh.

Beraksi dalam kempen Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas elit WorldSBK musim ini bersama pasukan Petronas MIE Honda Racing, Hafizh turut memuji kreadibiliti dan kemampuan yang dimiliki JDT Racing Team dan pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Saya amat bersyukur, teruja dan berterima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada keluarga JDT," kata Hafizh dalam satu kenyataan.

"JDT telah terbukti bila membuat sesuatu mesti bersungguh-sungguh dan professional. Jika dilihat kemampuan dari segi fasiliti, kemajuan dan sumber-sumber yang disediakan adalah sangat baik.

"Saya harap saya dapat menunjukkan kebolehan saya yang sebenar dalam memastikan JDT Racing Team berjaya sebagai pasukan yang boleh menaikkan nama JDT dalam sukan permotoran.

"Jika mana-mana atlet diberi peluang dan berkhidmat untuk JDT sudah pasti tidak akan lepaskan peluang ini. Oleh itu, cukup teruja dengan kerjasama bersama JDT Racing Team pada tahun 2024 dalam 'FIM Asia Road Racing Championship'."

Selain di ARRC, JDT Racing Team turut menyatakan hasrat untuk bersaing di pentas elit WSBK.

Selain WorldSBK, Hafizh juga bergelar pelumba Asia Tenggara dan negara pertama beraksi di kancah elit MotoGP (Semusim penuh), pelumba kelahiran Ampang itu juga pernah beraksi di kempen Moto2, ARRC dan bergelar juara kejuaraan tempatan.