'TUGAS Saya Nak Jadikan Kerja Orang Lain Tambah Sukar'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/5/20241 min read


PELUMBA negara, Azlan Shah Kamaruzaman secara matematik masih belum terkeluar daripada pemburuan merebut kejuaraan keseluruhan kelas elit ASB1000 menuju pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Buriram, Thailand minggu ini.
Beraksi bersama pasukan TKKR BMW Racing dan menggunakan jentera yang sama dengan juara WorldSBK musim ini, BMW M1000 RR, Azlan ketika ini menghuni tangga kelima dalam carta selepas mengumpul 115 mata.
Dengan 50 mata maksimum masih menjadi rebutan, bekas pelumba Moto2 negara itu ketinggalan 27 mata daripada pendahulu, Yuki Kunii (SDG Team HARC-PRO Honda Ph.) dari Jepun.
Turut berada di depannya ialah pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Honda Asia-Dream Racing with Astemo) yang mengumpul 140 mata dan seorang lain pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah (JDT Racing Team) 137 mata.
Pelumba Thailand, Nakarin Atiraphuvapat yang juga rakan sepasukan Andi di kedudukan ke-4 dengan 128 mata.
Sedar dengan persaingan di Buriram yang disifatkan tidak mudah dengan kesemua pelumba akan berusaha untuk cuba memburu gelaran kejuaraan, Azlan berkata dia berharap untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan terpuji.
"Memang saya menggemari litar ini tetapi persaingan pasti amat sukar. Saya akan cuba untuk menikmati perlumbaan dan berusaha menamatkannya di kedudukan yang baik.
"Dan sasaran saya adalah untuk menjadikan kerja orang lain bertambah sukar," katanya dalam nada bergurau dengan menyatakan sasarannya adalah untuk mendapatkan podium.
"Semua pelumba yang beraksi di kelas ini berkualiti tinggi malah pelumba yang beraksi dengan tiket wildcard juga amat bagus. Saya rasa ia pasti akan menyeronokkan."
Azlan pada Pusingan 1 yang turut berlangsung di Buriram mencipta kejutan apabila meraih kemenangan pada Perlumbaan 1.
