TUNGGANG Jentera Honda Di Moto3 GP India Beri Danial Syahmi Lebih Keyakinan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/14/20231 min read

MENUNGGANG jentera Honda ketika aksi secara 'Wildcard' di Grand Prix (GP) India, hujung bulan ini memberikan lebih keyakinan buat pelumba negara, Danial Syahmi Shahril.

Buat Danial, ini adalah penampilan kedua pelumba muda berbakat negara itu dalam kempen Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia mengikuti debutnya ketika menggantikan seorang lagi pelumba negara, Syarifudin Azman yang tak cergas ketika di GP Jerman, Jun lalu.

Untuk perlumbaan GP India, Danial akan berlumba bersama pasukan Petronas MIE Racing Vision Track Racing Team bersama seorang lagi pelumba tuan rumah, Kadai Yaseen Ahamed.

Begitupun, pengalaman beraksi dalam kempen Moto3 di Kejuaraan Eropah bersama pasukan Asia Talent Team yang menggunakan jentera Honda diakui memberikan 'senyuman' kepadanya.

"Terima kasih atas peluang di India. Ini kali kedua saya berlumba secara 'Wildcard' selepas di Moto3 GP Jerman," kata Danial.

"Paling penting adalah saya dapat menunggang jentera Honda saya ada banyak pengalaman dengan Honda selama dua tahun ini. Saya lebih memahami dengan jentera Honda dan mudah untuk menunggang.

"Di India, saya akan bekerja dengan ketua krew dan krew yang baru. Jadi sasaran saya adalah belajar secepat mungkin untuk bagi 100 peratus di trek nanti.

"Dan saya akan berusaha lebih kuat untuk berada di kedudukan yang baik," katanya.

Sebagai pelumba yang boleh dikatakan 'produk' keluaran Honda, Danial adalah naib juara keseluruhan Asia Talent Cup 2021 yang memberikannya tiket untuk beraksi di Moto3 Kejuaraan Eropah bersama pasukan sama.

Tetapi di Eropah, Danial turut berpengalaman penuh menggunakan jentera KTM kerana turut bersaing dalam kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup selama dua tahun termasuk tahun ini dengan saingan baru saja menutup tirai, minggu lalu.