TUNGGANG Uji 'Santai' Royal Enfield Super Meteor 650 (2023): 'Memang Boleh Kacau Jiwa'

REVIU

11/3/20233 min read

SEBELUM Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) dirasmikan di Desaru, Johor, media yang berpangkalan di Lembah Kelang diberi peluang untuk 'melayan' santai penawaran terbaharu dan mengujakan Royal Enfield Malaysia itu sedikit awal.

Tersenarai antara media yang bertuah dipilih, kami di MotoDotMy mengisi slot ketiga yang turut dari Berita Harian, Harian Metro, Mekanika, Roda-Roda dan Motorama.

Sebagai info, unit tunggang uji yang diperoleh Motodotmy.com adalah varian tertinggi Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) iaitu Celestial (Tourer) yang dijual pada harga asas RM 39,300.

Untuk sesi ujian santai ini, kami dijadual mengharungi perjalanan melebihi 100 km (pergi balik) dari Royal Enfield PJ ke Banting. Sedikit menarik, kami memulakan perjalanan ketika tempoh puncak pulang dari bekerja.

Dan ia peluang terbaik untuk menguji kemampuan Royal Enfield Super Meteor 650 untuk melakukan aktiviti 'mencilok' di laluan sibuk dan padat di PJ.

Memasuki lebuh raya PLUS, konvoi kami disapa dengan hujan yang agak lebat namun mujur hanya sekejap. Tetapi ada baiknya kerana ia memberi peluang untuk menguji tayar 'kilang' yang dibekalkan.

Tak dapat 'memerah' kuasa yang ada pada Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) susulan keadaan jalan yang sibuk, kami akhirnya diberi peluang melakukannya ketika memasuki lebuh raya SKVE.

Dan dapatan yang diperoleh adalah seperti berikut:

Spesifikasi Trenkuasa

Enjin 648 cc, 2 Silinder Parallel Twin, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair/Udara, SOHC, dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa 47 PS pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm.

"Tipikal enjin Royal Enfield, kuasa yang disalurkan boleh dikatakan 'linear' dan tiada elemen kejutan dapat dirasakan.

"Boleh diagak daripada trenkuasa 650 cc yang turut digunakan Continental GT dan Interceptor 650. Tetapi berbanding dua 'saudaranya', hantaran kuasa lebih 'lembut' dan lancar.

"Begitupun, tiada masalah untuk ia dikerah dengan keras dan melalui ujian, 160 km/j bukan satu masalah dan ia mungkin boleh pergi lebih daripada itu sekalipun ia memiliki berat 241 kg.

"Daripada input yang diperoleh daripada rakan media yang lebih 'otai', ia memang memiliki karakter yang berbeza daripada kedua-dua 'saudaranya' itu dan lebih sesuai dengan segmennya yang 'santai'.

"Dan melihat kepada segmen, rasanya kelajuan yang diperoleh sudah mencukupi."

Suspensi (Fork USD - Depan, penyerap hentak berkembar, preload - Belakang)

"Sebagai motosikal pertama RE yang dipadankan dengan fork USD, Royal Enfield jelas tidak mahu sebarang isu diterima terutama daripada media dan pengguna.

"Dihasilkan untuk penggunaan 'kasar' seperti jalan di India, penggunaannya di jalan raya di Malaysia memang boleh diakui cukup baik. Ia menyerap hentakan dengan baik dan kemampuan untuk mengambil selekoh juga boleh dipuji, termasuk ketika kelajuan tinggi.

"Dan menerusi penggunaan fork USD, ia juga nampak lebih premium."

Brek (Cakera tunggal - depan/belakang ABS)

"Setakat ujian yang dilakukan, brek cakera tunggal bersaiz 320 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 300 mm juga dengan kaliper 2 piston lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran berfungsi seperti diharapkan.

"Tetapi sedikit mengecewakan, penggunaan cakera tunggal (depan) mengurangkan sedikit 'kekacakan' Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) ini.

Teknologi

"Bercakap mengenai teknologi pula, apa yang dipadankan kepada RE Super Meteor 650 boleh dikatakan asas.

"Tiada teknologi bantuan tunggangan elektronik tersedia termasuk Kawalan Traksi tetapi untuk motosikal dengan kaliber sepertinya, ia mungkin sedikit mengecewakan bagi sesetengah orang.

"Di bahagian panel meter, ia menggunakan kombinasi analog/digital namun ciri sambungan ke telefon pintar selain pengecas USB memang dialu-alukan.

Rekaan & Ergonomik

"Dari sudut rekaan, Royal Enfield Super Meteor 650 memang diakui memiliki tarikan tersendiri. Ia tidak begitu mencolok mata dan adunan asli daripada jenama dari Britain itu diakui boleh menarik pembeli.

"Untuk pilihan pilihan varian pula, pendapat peribadi penulis merasakan RE Super Meteor 650 'Kosong' tampak lebih menarik namun ia pasti kurang sesuai untuk penggemar aktiviti 'Touring' kerana ia tidak memiliki visor angin.

"Jika melihat kepada sudut kualiti pemasangan atau komponen, tiada ulasan terperinci boleh dibuat kerana ia ujian yang singkat namun secara kasar, ia tidak bermasalah.

"Mengulas sudut posisi tunggangan, Royal Enfield Super Meteor 650 memang sama seperti motosikal bergaya 'Kruiser' lain di mana kedudukan kaki penunggang yang berada di depan. Ia mungkin memberi rasa kekok buat penunggang baru dalam segmen itu tetapi untuk yang 'otai', ia memang 'sedap'.

Kesimpulan

"Mendarat pada segmen 'Kruiser' yang ketika ini boleh dikatakan sedikit tenggelam di pasaran tempatan, boleh dikatakan kehadiran Royal Enfield Super Meteor 650 memang dialu-alukan.

"Ia juga menambah pilihan yang sudah lama diisi Honda dan beberapa model dari MForce selain Modenas Vulcan S di pasaran tempatan.

"Selain itu, tiada masalah untuk penggemar 'Kustom' melakukan 'tugas' mereka terhadap motosikal ini.

"Bagi kami, ia memang penawaran yang menarik dan walaupun ia hanya ujian yang singkat, ia satu sesi yang menarik dan bermanfaat. Terima kasih Royal Enfield Malaysia dan kalau sudi, jemputlah lagi.

Info

Tiga varian Royal Enfield Super Meteor 650 (2023):

  • Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) Astral (Single) - RM 37,900

  • Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) Interstellar (Dual) - RM 38,300

  • Royal Enfield Super Meteor 650 (2023) Celestial (Tourer) - RM 39,300