TUNGGU Tahun Depan, Semua Unit Modenas Ninja ZX-25R SE Diperuntukkan 2023 Katanya Dah 'Setel'

TERKINI

12/1/20231 min read

SEPTEMBER lalu, Modenas melancarkan motosikal 'Sportbike' yang penampilannya di pasaran tempatan amat dinantikan-nantikan ramai iaitu Modenas Ninja ZX-25R SE (2023).

Dengan tempahan mula dibuka beberapa minggu sebelum pelancaran rasminya, Emos dikatakan sudah menerima sekitar 250 tempahan dengan hanya 100 unit berjaya 'disiapkan' dan diserahkan ketika hari pelancaraan.

Dan sejurus kemunculannya di atas jalan raya, motosikal berkenaan pantas menjadi 'konten' popular di media sosial dan tular yang menyaksikan permintaannya terus meningkat.

Menurut sumber dalaman daripada Emos, permintaan terhadap motosikal itu sudah melebihi pengeluarannya ketika ini.

Malah, peruntukkan sekitar 500 unit pada tahun 2023 dikatakan sudah habis dan seperti biasa, pilihan warna tradisi perlumbaan Kawasaki 'Lime Green/Ebony' menjadi pilihan ramai.

Justeru, mereka yang berminat untuk mendapatkannya terpaksa menunggu sedikit masa dan dinasihatkan melakukan tempahan terlebih dahulu.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pihak Modenas ketika ini sedang menimbang untuk meningkatkan had pengeluar motosikal ini berdasarkan permintaan selaras dengan pembukaan barisan pemasangan baharu di fasiliti mereka di Gurun, Kedah.

Sebagai info, Modenas Ninja ZX-25R tiba dalam model SE atau Special Edition dan dijual pada harga RM 33,900 (asas) tak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Mengulas ringkas trenkuasa, Modenas Ninja ZX-25R SE (2023) dipacu enjin bersesaran 249 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, DOHC, 4 Lejang, Penyejuk Cecair. Kuasa yang dihamburkan ialah 45 Hp pada 15,500 rpm dan tork 21 Nm pada 13,000 rpm.

Sebagai jentera paling 250 cc paling berprestasi di pasaran ketika ini, Modenas Ninja ZX-25R SE (2023) turut dipadankan dengan teknologi canggih yang kebiasaan tidak dimiliki pencabar lain dalam kelasnya seperti Power mode, klac 'Assist & Slipper', 'Quick shifter' dan Kawasaki Traction Control (KTRC).