TUNKU Abdul Rahman Teruja F1 Kembali Ke Sepang

Tunku Abdul Rahman, yang juga Presiden merangkap Pelumba Johor Motorsports Racing (JMR), menyifatkan kembalinya F1 ke Malaysia sebagai satu perkhabaran yang amat dinanti-nantikan, khususnya oleh seluruh peminat sukan permotoran tanah air

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

7/27/20261 min read

SELEPAS 9 tahun, perlumbaan berprestij Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) tahun ini dan penganjurannya jelas mencetuskan keterujaan buat Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim.

Tunku Abdul Rahman, yang juga Presiden merangkap Pelumba Johor Motorsports Racing (JMR), menyifatkan kembalinya acara bertaraf dunia itu ke Malaysia sebagai satu perkhabaran yang amat dinanti-nantikan, khususnya oleh seluruh peminat sukan permotoran tanah air.

"Saya amat bersyukur atas kesepakatan yang dicapai oleh Raja Bahrain, Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, dan juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang membawa kepada berita mengujakan ini.

"Kembalinya F1 ke Malaysia selepas sembilan tahun sememangnya satu berita yang amat baik untuk negara. Malah, ia juga mengujakan untuk para pemandu F1 sendiri serta pasukan mereka, yang mana dalam kalangan mereka ada yang pernah dan juga belum pernah beraksi di sini," kata Tunku Abdul Rahman.

Mengimbau kenangan perlumbaan F1 di litar ikonik negara itu, Tunku Abdul Rahman mendedahkan Sepang menyimpan nilai sentimental yang sangat istimewa secara peribadi buatnya.

"Sepang sememangnya istimewa kenangannya untuk saya, dari menyaksikan F1 buat pertama kali bersama Almarhum Nenda saya pada awal tahun 2000-an zaman (Michael) Schumacher, sampailah ke perlumbaan terakhir pada 2017. Pastinya, penganjuran ini akan mengharumkan nama negara di tahap antarabangsa."

Dalam pada itu, Tunku Abdul Rahman menaruh harapan tinggi agar pihak penganjur, khususnya pengurusan SIC dapat menyajikan penganjuran yang cemerlang bagi mengubat kerinduan peminat tempatan.

"Saya berharap pihak penganjur dapat memberi pengalaman yang manis buat para pengunjung ke perlumbaan ini nanti, terutamanya bagi peminat tempatan Malaysia kerana sudah lama kita menanti dan mengharapkan perlumbaan F1 kembali ke halaman kita," katanya.

Lebih daripada sekadar nilai hiburan, Tunku Abdul Rahman optimis penganjuran acara mega itu bakal memberikan impak positif yang meluas terhadap landskap sukan dua dan empat roda negara.

"Sukan ini sudah banyak berkembang maju dan penganjurannya di sini akan mempamerkan sebuah acara taraf dunia, sekali gus memberi inspirasi kepada kemajuan bidang permotoran Malaysia secara keseluruhannya.

"Ini bukan sahaja dari segi pembangunan atlet, tetapi juga merangkumi infrastrukturnya serta ekosistem sukan permotoran itu sendiri," kata Tunku Abdul Rahman.