TUNKU Abu Bakar Sasar Podium Aksi Pembuka Tirai GT World Challenge Asia 2024 Di Sepang
SUKAN PERMOTORAN 4 RODA
4/19/20241 min read
BERAKSI di laman sendiri Litar Antarabangsa Sepang dan tiba sebagai pelumba pilihan, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim menyasarkan kedudukan podium pada perlumbaan pusingan pembuka tirai GT World Challenge Asia 2024, esok.
Memandu jentera Mercedes Benz AMG GT3 Evo, Tunku Abu Bakar yang beraksi bersama pasukan Triple Eight JMR pada musim lalu tampil cemerlang selepas berjaya merangkul tiga kedudukan podium untuk menamatkan kempen keseluruhan di tangga ketiga.
Apa yang lebih menarik, dua daripada kedudukan podium itu diraih Tunku Abu Bakar di Sepang.
Justeru pada musim ini, Tunku Abu Bakar akan bergandingan dengan rakan sepasukan baharu daripada Australia, Jordan Love berharap keputusan lebih baik dapat dicapainya.
"Saya benar-benar teruja untuk memulakan musim ini di Sepang," kata Tunku Abu Bakar. "Kami memperoleh prestasi yang amat bagus di sini pada tahun lalu, dan saya teruja untuk meneruskan momentum itu bersama Jordan.
"Sasaran utama kami adalah untuk mendapatkan permulaan yang baik untuk kejuaraan ini. Jika semuanya berjalan dengan lancar, kami sudah pasti akan memburu kemenangan pada minggu ini."
Pusingan 1 GT World Challenge Asia 2024 di Sepang yang menampilkan dua perlumbaan bakal menyaksikan persaingan cukup sengit menerusi penampilan 33 jentera 'Supercar' yang mewakili lapan pengeluar berbeza.
Sesi kelayakan dijadual berlangsung pada Sabtu diikuti Perlumbaan 1 manakala Perlumbaan 2 akan berlangsng pada Ahad.
Selepas Malaysia, Pusingan 2 GT World Challenge Asia 2024 dijadual berlangsung di Buriram, Thailand (11-12 Mei), Fuji, Jepun (22-23 Jun), Okayama, Jepun (24-25 Julai) dan menutup tirai di Shanghai, China pada 14-15 September.