TUNKU Panglima Johor, Tunku Putera Johor Kongsi 'Resipi' Kejayaan JMR Di Motorsports Talk 2.0

Bukan sekadar perkongsian santai, Motorsports Talk 2.0 turut menjadi sesi interaktif yang sarat dengan informasi di mana Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar menceritakan perjalanan JMR yang kini semakin gah di persada sukan permotoran antarabangs

TERKINI

8/14/20262 min read

KEJAYAAN yang diraih pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) di pentas antarabangsa bukanlah satu magis, namun menuntut pengorbanan, disiplin dan ketahanan mental di tahap tertinggi.

Itu antara perkongsian secara eksklusif oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim pada acara Motorsports Talk 2.0.

Melangkah ke edisi kedua penganjurannya, acara hasil kerjasama strategik antara JMR, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan QSR Brands itu menjadi platform terbaik buat mahasiswa UTM khususnya untuk mendekati ekosistem sebenar industri sukan permotoran dari kaca mata keluarga diraja Johor berkenaan.

Bukan sekadar perkongsian santai, Motorsports Talk 2.0 turut menjadi sesi interaktif yang sarat dengan informasi di mana Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar menceritakan perjalanan JMR yang kini semakin gah di persada sukan permotoran antarabangsa.

Antara yang mencuri tumpuan pastinya kejayaan sensasi JMR menakluk kelas Pro-Am pada perlumbaan ketahanan berprestij dunia, CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium, Jun lalu.

Enggan bersetuju dengan stigma sukan permotoran hanya bergantung kepada kelajuan dan kehebatan jentera, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar membuka mata dewan dengan menegaskan kejayaan sebenar dipacu oleh kudrat individu di belakang stereng dan di hentian pit.

Justeru, ia menuntut tahap disiplin yang sangat tinggi, ketahanan mental yang ampuh, semangat kerja berpasukan terbaik, serta keupayaan pelumba dan kru membuat keputusan pantas di bawah tekanan yang amat ekstrem.

"Peluang untuk berkongsi pengalaman seperti ini adalah sesuatu yang sangat bagus. Ia bukan sahaja merapatkan sukan permotoran dengan masyarakat, malah membuka minda generasi muda untuk melihat potensi inovasi dan kerjaya yang luas dalam industri ini," kata Tunku Abdul Rahman.

Turut hadir pada acara itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands, Nehchal Khanna serta Naib Canselor UTM, Prof Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim.

Mengulas mengenai penganjuran itu, Khanna menyifatkan acara berkenaan sangat bermakna memandangkan ia menandakan tahun ke-7 kerjasama antara KFC dan JMR.

"Kami amat berbangga dapat menjalin kerjasama strategik bersama JMR dan UTM. Kami percaya di sebalik keterujaan di litar perlumbaan, sukan permotoran turut memperlihatkan bagaimana inovasi, teknologi moden dan kerja berpasukan digabungkan bagi mencapai satu matlamat kejayaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafry melihat pendedahan berskala industri seperti itu amat kritikal dan sejajar dengan matlamat universiti dalam mempersiapkan modal insan kelas pertama.

"UTM bukan sahaja bertanggungjawab melahirkan graduan yang memiliki ilmu dari bilik kuliah, tetapi melahirkan individu yang mampu menggunakan pengetahuan tersebut untuk menyelesaikan permasalahan dunia sebenar," katanya.