TVS Motor Lancar TVS Apache RTR 310 (2023), RM 13.6k (Bermula), Canggih, Ada Pilihan Warna Sepang Blue!

TERKINI

9/7/20232 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal India, TVS Motor akhirnya melancarkan model 'Naked' yang didakwa amat dinantikan di negara berkenaan, TVS Apache RTR 310 (2023) yang tiba dengan rekaan cukup futuristik serta canggih.

Tiga pilihan warna ditawarkan untuk TVS RTR 310 (2023) dan apa yang menarik, ia turut mengambil nama litar kebanggaan Malaysia, Litar Antarabangsa Sepang iaitu Sepang Blue.

Dua lagi warna yang boleh dipilih adalah Arsenal Black dan Fury Yellow.

Untuk harga, ia bermula daripada Rs 2.43 lakh (RM 13,663) untuk pilihan warna Arsenal Black (Tanpa 'quickshifter') dan varian mempunyai 'quickshifter' atau Standard berharga Rs 2.58 lakh (RM 14,506).

Untuk pilihan warna Fury Yellow, harga jualannya adalah Rs 2.64 lakh (RM 14,506).

Begitupun untuk pilihan warna Sepang Blue yang tersedia menerusi platform 'Built-To-Order', harga jualannya adalah Rs 2.74 lakh (RM 15,406).

Dari sudut rekaan, TVS Apache RTR 310 (2023) tampil dengan rekaan agresif garang ala 'Street fighter' dan futuristik.

Tetapi apa yang paling menarik ialah ia dipadankan dengan teknologi yang cukup canggih, sesuatu yang jarang dipadankan kepada motosikal dalam segmen sepertinya.

Dari sudut trenkuasa, TVS Apache RTR 310 (2023) dipadankan dengan enjin yang sama dengan TVS Apache RR 310 dan BMW G310R iaitu bersesaran 312.12 c, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa dihamburkan adalah 35 Hp pada 9,700 rpm dan tork 28.7 Nm pada 6,650 rpm.

Lengkap dengan klac 'Assist & Slipper', TVS mendakwa motosikal ini boleh mencapai kelajuan maksimum 150 km/j dengan mampu melakukan 0-60 km/j hanya dengan masa 2.81 saat.

Berbalik kepada teknologi yang dipadankan kepada TVS Apache RTR 310 (2023), ia memang menarik apabila ia turut memiliki 5 mod tunggangan (Sport, Track, Supermoto, Urban dan Rain) serta 'Cruise control'.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunaan panel meter TFT berwarna 5 inci lengkap dengan sambungan ke telefon bimbit dan GoPro, navigasi dan sebagainya.

Selain Kit Warna Sepang Blue, turut tersedia bagi platform tersedia 'Built-To-Order' adalah 'Dynamic Kit' dan Dynamic Pro Kit' yang membuatkan motosikal ini lebih menarik.

Menerusi dua kit ini, pemilik boleh memiliki ciri-ciri seperti 'Race Tuned Dynamic Stability Control' (Cornering ABS, cornering cruise control, cornering traction control), 'Tyre Pressure Monitor', pemanas dan penyejuk pelana dan pelbagai lagi.

Dan menurut rakan media tempatan, TVS Apache RTR 310 (2023) turut akan dilancarkan di Malaysia. Sama-sama kita nantikan.