UJIAN Aprilia Di Misano Amat Membantu - Jorge Martin
Prestasi baik ditampilkan pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin yang mencatatkan masa kelima terpantas hari Jumaat Grand Prix (GP) Republik Czech 2025 sekali gus mara terus ke Kelayakan 2 (Q2)
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/18/20251 min read


JORGE Martin membuat kepulangan semula ke kancah MotoGP dengan nada yakin apabila mencatatkan masa kelima terpantas hari Jumaat Grand Prix (GP) Republik Czech 2025 sekali gus mara terus ke Kelayakan 2 (Q2).
Di sebalik keadaan sukar di Brno yang berlangsung dalam keadaan litar basah dan kering, pelumba Aprilia Racing itu tampak selesa dengan jentera Aprilia RS-GP dan hanya 0.7 saat (s) di belakang pendahulu, Marc Marquez.
Mengulas perkara berkenaan, penyandang juara dunia MotoGP itu yang kembali berlumba selepas beberapa bulan tersisih susulan kecederaan berkata keputusan itu diperoleh hasil ujian yang dilakukannya pada minggu lalu di Misano yang disifatkan penting dalam persiapannya.
"Perkara yang baik daripada Aprilia adalah mereka bersunguh-sungguh pada hari ujian. Pada hari itu, saya ada masa untuk melakukan pusingan dan mengadaptasi dengan perlahan tanpa tekanan atau kamera," kata Martin kepada TNT Sport.
"Saya mendapat posisi yang baik dengan jentera. Hari ini saya terus meningkat. Saya rasa ia sudah pun jentera saya... Saya merasa selesa dan saya berada di posisi yang baik."
Mengulas lanjut, Martin berkata dia kini yakin untuk menyatakan mereka sudah kembali.
"Apa yang penting adalah kami bersaing di tahap terbaik kami, kami memberikan 100 peratus. Hari ini sukar kerana keadaanya yang bercampur. Saya perlu memberikan tumpuan.
"Saya terlepas beberapa pusingan kerana saya tidak konsisten dengan garisan perlumbaan saya berbanding tahun lalu. Tetapi ia hanya memerlukan masa untuk mencapai tahap itu. Mereka mengeluarkan saya selepas empat atau lima pusingan kerana saya sentiasa di luar!"
Martin dalam pada itu berkata dia berharap untuk mendapatkan 'bantuan' daripada pelumba lain untuk memperoleh sesi kelayakan yang bail.
"Saya tak tahu apa yang boleh dijangkakan. Kita tunggu dan lihat. Saya akan bersaing pada tahap terbaik saya dan melakukan kelayakan yang baik.
"Harapnya saya akan mendapat 'bantuan' daripada pelumba yang laju! Jika kami berada di posisi yang baik untuk perlumbaan saya akan cuba untuk kekal berada dengan mereka di depan."
