UJIAN Di Sepang, Buriram Amat Penting - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/29/20241 min read


PELUMBA baharu Ducati Lenovo, Marc Marquez menegaskan ujian pra-musim yang dijadual berlangsung di Malaysia dan Thailand sebagai penting selepas peraturan MotoGP mengharungi tempoh 'beku' sejurus kempen 2025 berlangsung.
Berdasarkan peraturan teknikal MotoGP, pembangunan terhadap enjin 1,000 cc akan dibekukan selama dua tahun selepas pusingan pertama musim 2025 sebagai persiapan penggunaan enjin baharu 850 cc pada musim 2027.
Justeru, ia bermakna enjin yang dihomologasi oleh Ducati, KTM dan Aprilia selepas ujian Buriram pada Februari tidak boleh diubah sehingga pusingan penamat musim 2026.
Begitupun, peraturan itu tidak dikenakan kepada Yamaha dan Honda berikutan peraturan konsesi yang diperoleh oleh kedua-dua pengeluar Jepun yang sedang bergelut itu.
"Pada pra-musim ini, adalah penting kerana pada 2025 dan 2026 enjin yang digunakan adalah sama," kata Marquez. "Jika kamu melakukan kesilapan dari sudut rekaan enjin bagi musim 2025, kamu akan membawa masalah itu pada 2026, jadi ia amat penting."
Ujian di Barcelona menyaksikan Ducati kekal sebagai jentera terpantas namun bukan daripada pelumba pasukan 'kilang', sebaliknya pelumba Gresini Ducati iaitu Alex Marquez.
Marquez dalam pada itu melakukan catatan ke-4 terpantas di belakang rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia dan pelumba Yamaha, Fabio Quartararo.
"Cuti rehat boleh menjadi panjang atau pendek, ia bergantung kepada bagaimana pendekatan kamu, tetapi apa yang penting adalah bagaimana kamu pulih daripda musim lalu, terutama pada pusingan-pusingan terakhir di Asia, dan memberikan badan kamu sedikit rehat.
"Apabila kami tiba pada Februari nanti, perlumbaan adalah amat rapat. Jadi kini kamu perlu berehat, menghabiskan cuti Krismas dengan keluarga dan rakan dan bercuti, pergi ke tempat yang cantik yang membantu kamu memutuskan hubungan dengan perkara lain.
"Daripada Januari ke depan, kamu perlu memasuki mod pra-musim sepenuhnya dan menyerang, dan turut cuba menyediakan diri kamu secara fizikal sebagai mungkin."
