UJIAN Jerez, Enjin Baharu Yamaha Lebih Berkuasa
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/28/20251 min read


YAMAHA mengharungi kempen mengujakan di Grand Prix Sepanyol 2025 dengan kejayaan podium diraih Fabio Quartararo dan perkembangan positif itu diteruskan pada ujian post-perlumbaan MotoGP di Jerez, semalam.
Pengeluar Jepun itu itu dikhabarkan akan menguji enjin konfigurasi V4 di Jerez tetapi kedua-dua pelumba pasukan 'kilangnya' Quartararo dan Alex Rins menjalani ujian terhadap enjin 4 Silinder Sebaris terbaharu pasukan itu.
Dan keputusan yang diperoleh tetap mengujakan dengan Quartararo muncul pelumba ketiga terpantas, hanya 0.477 saat (s) di belakang Marc Marquez dari Ducati Lenovo yang melakukan catatan terpantas.
"Kami menguji enjin baharu, dan ia nampak positif," kata Quartararo memetik laporan Crash.net. "Kami mungkin akan menggunakannya di Le Mans, tetapi sebelum itu, jurutera perlu menganalisa datanya juga.
"Laluan lurus di sini amat pendek, tetapi apa yang paling mustahak adalah untuk melihat sama ada kami masih memiliki tahap kelincahan yang sama dengan enjin sebelum ini. Perasaannya cukup baik.
"Kami masih memerlukan sedikit masa untuk memahami manfaat sebenar daripada enjin ini. Tetapi, ada beberapa perkara yang positif, yang saya fikir hebat. Saya bersedia untuk Le Mans. Ia satu kelebihan."
Turut teruja rakan adalah sepasukan Quartararo, Rins yang melakukan catatan ke-4 terpantas.
"Kami mencuba enjin baharu, ia bagus! Ia lebih berkuasa," kata Rins. "Kami masih berusaha dengan kelajuan tertinggi kerana ia masih kekurangan kepada kami, dan kami jelas 2 km/j bertambah laju.
"Ini adalah keputusan yang hebat. Kami akan menggunakan enjin ini di Le Mans. Sudah tentu masih ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki, tetapi saya agak gembira kerana apa yang kami cuba hari ini membantu saya untuk melalui selekoh dengan lebih baik."
Bos Yamaha Racing, Massimo Meregalli mengesahkan pasukan itu merancang untuk menggunakan enjin berkenaan di Perancis dan menggambarkan komen daripada kedua-dua pelumbanya sebagai 'positif'.
