UJIAN Portimao Beri Peluang Zaqhwan Zaidi Fahami Jentera, Cara Kerja Pasukan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/17/20251 min read

SECARA keseluruhan, 78 pusingan berjaya dilakukan Mohd Zaqhwan Zaidi pada ujian rasmi WSBK yang berlangsung di Portimao, Portugal minggu lalu, sesi yang dilihat positif buat pelumba WorldSBK negara itu.

Selepas berdepan 'kemelut' apabila tidak berpeluang mengharungi ujian pra-musim termasuk yang terakhir di Australia, Zaqhwan dipalit situasi mengecewakan pada pusingan pertama WorldSBK di Phillip Island.

Tampak cukup bergelut ketika itu, bekas pelumba Moto2 negara itu akhirnya tidak mampu mencatatkan masa yang melayakkannya untuk berlumba.

Kembali ke litar di Portimao, Portugal yang menjadi destinasi pusingan kedua WorldSBK pada hujung bulan ini, Zaqhwan mengakui makin memahi jenteranya Honda CBR1000RR-R, penggunaan tayar dan cara kerja pasukannya, PETRONAS MIE Honda Racing.

"Ini adalah kali pertama saya di Portimao dan ia bukan mudah, satu cabaran baharu untuk saya," kata Zaqhwan. "Tetapi saya agak gembira dengan apa yang kami lakukan di sini, kami dapat melihat kemajuan.

"Saya tidak mempunyai keyakinan dengan jentera di Phillip Island, di mana segala-galanya adalah baharu dan saya juga tidak dapat melakukan ujian.

"Kini saya lebih faham, sudah tentu mengenai jentera dan juga bagaimana untuk bekerja dengan ketua krew saya. Sudah tentu masih banyak yang kami perlu pertingkatkan tetapi saya percaya saya boleh melakukan lebih baik.

"Seperti saya cakapkan, segala-galanya adalah baharu bagi saya, malah tayar, kerana hampir semua litar juga adalah baharu bagi saya, kerana saya sebelum ini hanya pernah berlumba di Jerez dan Aragon.

"Ia akan mengambil masa untuk saya berada di mana saya mahu berada, tetapi saya akan terus berusaha sekeras yang mungkin."

Tetapi agak membimbangkan, berdasarkan catatan masa terbaik yang dilakukan Zaqhwan iaitu 1 minit 45.816 saat (s) masih belum dapat melepasi had minimum 105 peratus dengan catatan terpantas dilakukan bintang BMW, Toprak Razgatlioglu adalah 1:39.592s.

Pusingan kedua dijadual berlangsung pada 28 hingga 30 Mac ini yang menyaksikan Zaqhwan bakal menyambut Aidilfitri di perantauan.