UJIAN 'Shakedown' MotoGP 2024 Berakhir, Pedro Acosta Garang Di SIC!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/3/20241 min read

PELUMBA 'Rookie' MotoGP 2024, Pedro Acosta membuktikan kelibatnya di grid perlumbaan elit itu musim ini perlu diambil perhatian selepas mencatatkan masa terpantas ujian 'Shakedown' MotoGP 2024 di Litar Antarabangsa Sepang (Petronas SIC) yang berakhir, hari ini.

Ujian 'Shakedown' MotoGP selama tiga hari yang bermula pada 1 Januari lalu menjadi medan ujian buat pelumba 'Rookie' dan pelumba ujian MotoGP menguji jentera masing-masing sebelum ujian rasmi berlangsung.

Dan bagi Acosta dari pasukan satelit KTM, Red Bull GasGas Tech3, catatan yang dilakukannya pada hari ini 1 minit 58.189 saat (s) adalah terpantas bagi ketiga-tiga hari ujian.

Menariknya pada sesi 'Shakedown' kali ini, Acosta bukan saja 'ditemani' pelumba ujian, namun pelumba utama daripada pasukan Yamaha dan Honda susulan peraturan 'konsesi' baharu MotoGP.

Ia menyaksikan ujian turut menampilkan barisan pelumba seperti Fabio Quartararo dan Alex Rins (Monster Yamaha), Joan Mir, Luca Marini (Repsol Honda) dan Johann Zarco, Takaaki Nakagami (LCR Honda).

Turut menyertai sesi ujian adalah pelumba ujian KTM, Dani Pedrosa dan Pol Espargaro, Cal Crutchlow (Yamaha), Michele Pirro (Ducati), Lorenzo Savadori (Aprilia) dan Stefan Bradl (Honda).

Selain medan menguji jentera dan komponen baharu, ujian hari ini turut merekodkan kejatuhan pertama Acosta di MotoGP.

Pelumba ujian baharu KTM, Espargaro mencatatkan masa kedua terpantas dengan 1:58.255s dengan pelumba baharu Honda, Johann Zarco ketiga dengan 1:58.400s.

Juara dunia 2021, Fabio Quartararo mencatatkan masa keempat terpantas sepanjang sesi 1:58.438s diikuti seorang lagi pelumba ujian KTM, Dani Pedrosa yang melakukan 1:58.478s.

Sebagai info, ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 dijadual bermula pada 6 hingga 8 Februari ini juga di SIC dan boleh disaksikan penonton.