UTM, Persona Energy Jalin Kerjasama Perkenalkan TTAP Xcelerator

TERKINI

5/2/20241 min read

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) dan Persona Energy Sdn Bhd, baru-baru ini memeterai perjanjian Kerjasama (MoU) yang memberi fokus kepada pembangunan sukan permotoran negara.

Menerusi kerjasama itu, sebuah platform Pendidikan diperkenalkan dikenali sebagai Perantis Pemindahan Teknologi Permotoran Xcelerator (TTAP Xcelerator) yang menyediakan kelayakan mikro kepada bakat kejuruteraan tempatan dan mempercepatkan laluan mereka ke dunia sukan permotoran.

Dan bakat-bakat yang terpilih bagi program berkenaan akan berpeluang untuk 'beraksi' di litar lumba, diberikan pendedahan langsung terhadap kemahiran teknikal dan praktikal daripada jurutera perlumbaan, pasukan sukan permotoran dan ketua mekanik terkemuka serta berpengalaman.

Naib Canselor UTM, Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail ketika majlis menandatangani perjanjian (MOU) TTAP Xcelerator berkata industri sukan permotoran memiliki permintaan tinggi, terutamanya dari segi aplikasi teknologi, kejuruteraan kenderaan dan pengurusan pasukan.

"TTAP Xcelerator adalah elemen penting dalam pembentukan kumpulan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi. Jadi harapnya dengan adanya program ini, lebih ramai rakyat tempatan menceburi bidang ini."

Pengarah Eksekutif Persona Energy Jazeman Jaafar yang juga bekas pelumba negara berkata, pihaknya berharap menerusi TTAP Xcelerator, bakat-bakat tempatan akan bersedia untuk memacu kerjaya dalam sukan permotoran di peringkat tempatan dan antarabangsa selepas melengkapkan program berkenaan.

"Dengan perkembangan teknologi tinggi dalam sukan permotoran, ini akan membolehkan kami memanfaatkan pemindahan teknologi yang akan meningkatkan pembangunan industri automotif dan sukan permotoran tempatan," katanya.