VALE Dedah Detik Bila Mahu Gantung Sut Lumba MotoGP, Keputusan Yang 'Matang'!
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/13/20232 min read
SIAPA yang tak kenal dengan legenda dan ikon MotoGP, Valentino Rossi malah ada mendakwa nama 'Rossi' itu sendiri jauh lebih popular dan dikenali berbanding kejuaraan MotoGP.
Meninggalkan dunia MotoGP pada penghujung musim 2021 di mana pasukan terakhir disertainya adalah pasukan yang ada kaitan dengan Malaysia, Petronas Yamaha SRT, keputusan legenda Itali itu untuk bersara memang mencipta 'gempak' yang cukup besar.
Dan selepas beberapa tahun mendiamkan diri, termasuk melihat anak didiknya bergelar juara dunia MotoGP (Francesco Bagnaia), Rossi akhirnya mendedahkan bagaimana dia membuat keputusan untuk bersara.
"Dalam beberapa tahun terakhir di mana saya lebih banyak bergelut, saya ada bercakap mengenainya dengan jurulatih saya Carlo," katanya memetik laporan Crash.net yang juga memetik temuramah di 'podcast' Gianluca Gazzoli.
"Kami bercakap: 'Kamu perlu terus berlumba sehingga kamu tak mampu melakukannya lagi, jadi tiada apa yang perlu kamu sesalkan selepas itu. Ada ramai pelumba yang bersara terlalu awal. Tetapi mereka tidak boleh meninggalkannya. Mereka kembali dan melakukan kerosakkan.
Selepas meraih gelaran dunia terakhir dan ketujuhnya di MotoGP, Rossi berlumba selama 12 tahun selepas itu dan akhirnya menggantung sut lumba di usia 42 tahun.
"Saya memutuskan untuk berhenti selepas Assen," katanya. "Saya mahu berlumba lagi tetapi saya bercakap kepada diri saya: 'Ayuh lihat sama ada saya kompetitif kerana saya tidak mahu datang ke sini dan menamatkan perlumbaan di tangga ke-12.
"Assen adalah perlumbaan yang penting kerana ia adalah salah satu litar kegemaran saya. Ia adalah litar di mana saya menang 10 kali, jadi ia seperti perlumbaan di laman sendiri.
"Sebelum bergerak (ke Assen), saya makan tengah hari bersama Francesca (teman wanita). Dia berkata: 'Saya tak gemar kopi lagi, aneh kerana saya sentiasa menggemari kopi, mungkin saya akan melakukan ujian beberapa hari lagi.
"Saya berkata kepada 'ok' dan pergi ke Assen. Apabila saya di sana, saya tidak berfikir mengenai ujian iti.
"Ketika perlumbaan, saya memperoleh permulaan yang buruk, kemalangan. Saya bersaing dengan Enea Bastianini, saya memusnahkan jentera saya. Apabila saya berada di batu di tepi litar saya berkata: 'Jika saya memerlukan tanda untuk berhenti, inilah tandanya!'
"Bayangkan keadaan minda saya ketika itu kerana ini bermakna kamu melepaskan kehidupan yang kamu ada selama 25 tahun," katanya.
Rossi kemudian pulang ke Itali dengan mengetahui kariernya hampir berada di penghujung tetapi masih belum memberitahu sesiapapun.
Dan ada berita lebih besar yang membuatkan dia tekad dengan keputusannya di kediamannya.
"Apabila saya tiba saya memberitahu Francesca untuk keluar makan malam tetapi dia memberitahu saya 'tidak, kamu datang ke sini'.
"Saya dapat merasakan sesuatu yang dia mahu memberitahu saya sesuatu. Ia berlaku serentak, saya mendapat tahu yang saya akan menjadi bapa pada hari saya memutuskan untuk berhenti berlumba."
Rossi dan Francesca menimang cahaya mata yang juga anak perempuannya pada Mac 2022 di mana ikon MotoGP itu sudah bersara.
Begitupun, Rossi nampaknya masih 'bernafsu' untuk berlumba tetapi anehnya, bukan dengan perlumbaan motosikal namun kereta.
Sumber imej: FB Valentino Rossi VR46 Official