VALE Kekal Nafi Tendang Marc Marquez Di Sepang
Pendirian itu dikongsikan Valentino Rossi atau dikenali Vale menerusi petikan buku autobiografi terbaharunya berjudul La Mia Storia yang dijangka menawarkan perspektif baharu mengenai beberapa detik paling diingati sepanjang saingan MotoGP
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/15/20261 min read


LEGENDA MotoGP, Valentino Rossi Kekal menafikan dakwaan dia menendang Marc Marquez dalam insiden kontroversi di Grand Prix (GP) Malaysia pada 2015, dengan menegaskan ia tidak pernah wujud.
Pendirian itu dikongsikan pelumba kelahiran Itali itu menerusi petikan buku autobiografi terbaharunya berjudul La Mia Storia yang dijangka menawarkan perspektif baharu mengenai beberapa detik paling diingati sepanjang saingan MotoGP.
Mengimbas semula perlumbaan penuh drama itu, ketegangan tercetus menjelang aksi di Sepang selepas Rossi menuduh Marquez cuba membantu rakan sepasukannya di Yamaha, Jorge Lorenzo memenangi kejuaraan dunia sebelum kedua-dua pelumba terbabit dalam pertarungan sengit pada awal saingan.
Pertembungan itu berakhir apabila Rossi sengaja menghimpit Marquez ke bahagian luar litar akibat rasa kecewa, sebelum kedua-duanya bersentuhan dan pelumba Honda terjatuh ketika kaki Rossi dilihat sedikit tersentak.
Marquez kemudian menuduh Rossi menendangnya, namun dakwaan itu sentiasa dinafikan dan tanpa bukti konklusif, isu tendangan itu tidak dijadikan sebahagian daripada hukuman yang memaksa Rossi bermula dari petak paling belakang di Valencia.
Menurut laporan Marca, Rossi memperincikan detik sebenar pergerakan kakinya ketika insiden bersejarah itu berlaku di dalam buku berkenaan.
"Marquez memecut untuk cuba memintas saya, tuil breknya tersangkut pada kaki saya di bawah sut perlumbaan pada paras lutut. Pada saat itu, kaki kiri saya tergelincir ke bawah," tulis Rossi.
Biarpun mengakui rakaman video kelihatan mengelirukan, Rossi tetap mempertahankan dirinya apabila menulis: "Ia memang kelihatan seperti satu tendangan yang menyebabkan kemalangan itu. Saya juga berfikir begitu apabila melihat rakaman itu."
Tetapi dia menegaskan yang tendangan itu tidak pernah wujud, sementara Honda sebelum ini dilaporkan pernah merancang mendedahkan data peningkatan tekanan mendadak pada tuil brek hadapan Marquez sejurus sebelum dia terjatuh, namun data itu tidak dapat membuktikan tendangan sengaja sebagai puncanya dan tidak pernah dikeluarkan demi meredakan keadaan oleh pihak MotoGP.
Rossi akhirnya terlepas kejuaraan dunia pada pusingan penentuan di Valencia, di mana dia sekali lagi menuduh Marquez membantu Lorenzo menjuarai musim berkenaan.

