VALE Masih Bengang Dengan Marc Marquez 'Insiden' GP Malaysia 2015

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/4/20231 min read

ADIK kepada legenda MotoGP Valentino Rossi, Luca Marini berkata abangnya masih lagi 'bengang' dengan Marc Marquez susulan 'insiden' yang terjadi ketika Grand Prix (GP) Malaysia lapan tahun lalu.

Tampil sebagai pencabar utama kejuaraan dunia pada musim 2015, Rossi begitupun terlepas peluang itu pada perlumbaan penutup tirai di Valencia susulan tindakannya (tendang) kepada Marquez di Sepang.

Atas tindakannya itu, Vale terpaksa memulakan perlumbaan di Valencia di petak terakhir dan sekalipun berjaya menamatkan aksi di tangga keempat, ia masih belum cukup untuk mengatasi rakan sepasukannya dari Yamaha, Jorge Lorenzo dinobat sebagai juara dunia musim itu.

Awal tahun ini, insiden itu sekali lagi dibangkitkan menerusi dokumentari Marquez di Amazon Prime dan ketika ditanya oleh media Sepanyol, AS, Marini berkata dia yakin abangnya masih lagi mempunyai rasa marah atas insiden itu.

"Saya berada di rumah ketika itu dan tidak melihatnya secara dekat dan juga kerana perbezaan masa," kata Marini yang ketika itu berusia 18 tahun.

"Kami ada berborak mengenainya, tetapi tidak banyak. Dia (Vale) tidak banyak bercakap mengenainya kepada saya, tetapi saya yakin yang dia masih lagi marah."

Marini juga mendakwa insiden yang berlaku di Litar Antarabangsa Sepang itu mengubah landskap MotoGP di dan menjadikan sukan itu seperti bola sepak di mana peminat mula memilih pihak.

Mengulas mengenai kehadiran Marquez ke Ducati musim depan, Marini berkata ia sesuatu yang menakjubkan.

"Dia pelumba yang cukup hebat, amat-amat kuat, tetapi seperti semua orang, apa yang dia perlu lakukan adalah memenangi perlumbaan dan kami sudah pun mempunyai Jorge (Martin) dan Pecco (Francesco Bagnaia) yang melakukannya."