VALE Percaya Pedro Acosta Akan Ada Di 'Depan' Jika KTM Lebih Baik

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/11/20241 min read

LEGENDA MotoGP, Valentino Rossi menghamburkan pujian kepada pelumba 'rookie' tunggal musim ini, Pedro Acosta atas prestasi yang ditampilkan setakat ini.

Berbaki satu lagi pusingan musim ini, Acosta yang berlumba bersama pasukan satelit KTM, GasGas Tech3 menghuni tangga ke-5 carta kedudukan pelumba selepas mengumpul keseluruhan 209 mata.

Sekalipun belum meraih kemenangan, juara dunia Moto2 musim lalu itu berjaya meraih dua kedudukan naib juara dan tempat ketiga pada perlumbaan utama dan menjadi pelumba terbaik KTM di depan pelumba senior, Brad Binder yang mengisi tempat ke-6 dengan 206 mata.

Selepas meraih permulaan yang baik di awal musim, Acosta mengharungi kempen yang agak sukar selepas sering terjatuh dengan kemalangan di Phillip Island ketika aksi Sprint memaksanya terlepas perlumbaan utama.

Dan bagi Rossi, segala pergelutan itu menyaksikan Acosta pengalaman yang cukup berharga tetapi percaya, pelumba berusia 20 tahun itu mampu berada di 'depan' jika prestasi KTM lebih baik.

"Perkara ini membuatkannya sedikit di luar kawalan. Tetapi pada pandangan saya, dia (Acosta) kekal amat kuat dan jika KTM berjaya untuk merapatkan kedudukan dengan Ducati, dia akan berada di depan," kata Rossi memetik laporan Sky Italia.

"KTM pada saya nampak berdepan dengan sedikit pergelutan tahun ini.

"Dan ia lebih teruk daripada tahun lalu berbanding dengan Ducati, malah pelumba-pelumba dengan pengalaman hebat dengan jentera seperti Brad Binder, jadi ia tidak mudah bagi rookie.

"Dia tiba dengan cukup hebat, tetapi selepas itu dia mula (terjatuh), banyak kali dan agak kuat.

"Tamparan yang diterimanya daripada MotoGP mula terasa, ia sesuatu yang berbeza, kamu lebih banyak menyakiti diri sendiri..."

Prestasi baik Acosta di awal musim menyaksikan KTM membuat keputusan mudah untuk menyenaraikannya ke pasukan utama bagi musim 2025 yang sekali gus menyingkirkan Jack Miller.

Jorge Lorenzo sebelum ini pernah menyatakan yang Acosta akan meraih kemenangan di MotoGP pada musim ini tetapi setakat ini, ia masih belum tercapai.