VALE 'Pujuk' Pramac Ducati 'Angkat' Morbidelli

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/23/20231 min read

LEGENDA MotoGP Itali yang kini berstatus pemilik pasukan MotoGP dan mentor, Valentino Rossi menggunakan kalibernya untuk memujuk Pramac Ducati menandatangani anak muridnya, Franco Morbidelli.

Posisi Morbidelli di Yamaha pada musim depan akan digantikan dengan bekas pelumba LCR Honda, ALex Rins dan destinasinya sehingga kini masih belum diketahui.

Dan sebagai mentor, Rossi tampil dengan satu idea bagaimana untuk mengembalikan kegemilangan salah seorang daripada empat graduan Akademi VR46 yang berada dalam grid MotoGP ketika ini itu.

"Pasti menakjubkan untuk Franco jika dia pergi ke Pramac," kata Rossi memetik laporan Sky. "Dia juga akan menunggang jentera jentera spesifikasi terkini. Kemungkinannya adalah hebat.

"Franco cukup baik di Yamaha, pada tahun keduanya bersama jenama itu, dia menewaskan Fabio Quartararo dan muncul naib juara dunia. Penangguhan teknikal Yamaha kini membuatkan mereka perlu membayar harga mahal.

"Morbidelli boleh memenangi perlumbaan, perkara terbaik untuknya adalah mendapatkan tempat bersama Ducati," kata Rossi.

Ketika ditanya mengenai situasinya selepas menamatkan Grand Prix Austria di tangga ke-11, Morbidelli membalas: "Vale sudah kata semuanya, saya bersetuju dengannya. Kamu perlu sabar. Bertenang."

Ketika ini, Pramac Ducati memiliki satu kekosongan selepas pelumbanya, Johann Zarco sah meninggalkan pasukan itu dan menyertai LCR Honda dengan kontrak selama dua tahun bermula 2024.