VALE 'Terkejut' Prestasi Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/3/20241 min read

VALENTINO Rossi menyifatkan prestasi yang ditampilkan 'Rookie' tunggal MotoGP musim ini, Pedro Acosta sebagai mengejutkan semua orang.

Selepas empat pusingan berlangsung, juara dunia Moto2 musim lalu itu cemerlang mengisi tangga keempat carta keseluruhan malah turut meraih podium dalam dua Perlumbaan Sprint.

Apa yang lebih menakjubkan, pelumba kelahiran Sepanyol itu beraksi bersama pasukan satelit KTM, Red Bull GasGas Tech3 namun menjadi pelumba terbaik KTM di carta ketika ini.

Mengulas mengenai persembahan Acosta setakat ini, Rossi yang juga juara dunia sembilan kali melabel kehadiran pelumba berusia 19 tahun itu sebagai baik untuk MotoGP.

"Ia bagus untuk sukan ini kerana apabila 'rookie' tiba di kejuaraan dan bersaing untuk merebut kemenangan, semua orang akan mula mengikutinya," kata Rossi memetik laporan Crash.net.

"Saya amat ingin tahu untuk melihat di mana dia akan menamatkan persaingan. Angka yang Acosta capai dalam kariernya amat aneh.

"Dia menang dua kejuaraan dunia dalam tempoh tiga tahun dan dia melakukan sesuatu yang istimewa.

"Saya tahu dia amat kuat di MotoGP, tetapi saya tidak menjangkakan ia akan berlaku seawal ini. Ia agak mengejutkan untuk semua orang tetapi ikutan yang vagus.

"Saya fikir pasti sukar untuk bersaing dengannya di masa depan."

Sekalipun teruja dengan persembahan Acosta, masih terlalu awal untuk Vale meletakkan pelumba itu sebagai pencabar utama kejuaraan.

"Atas kertas nombor satu dan dua untuk kejuaraan adalah Pecco (Francesco Bagnaia) atau (Jorge) Martin.

"Ketika ini, Martin lebih baik. Juga Pecco kadang kala tidak bernasib baik dan melakukan beberapa kesilapan kecil, jadi Martin ada kelebihan yang baik dalam kejuaraan tetapi musim ini masih amat, amat panjang.

"Ada ramai pelumba yang boleh bersaing merebut kejuaraa. Ada minimum lima atau enam pelumba. Ada Acosta, (Maverick) Vinales, jadi segala-galanya masih terbuka."