VALENTINO Rossi Dedah 'Punca' Tinggalkan Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/9/20251 min read

VALENTINO Rossi membuat kejutan dengan meninggalkan Honda pada penghujung musim 2003 untuk menyertai Yamaha dan menariknya mengekalkan gelaran dunia MotoGP miliknya bersama satu lagi pengeluar Jepun itu.

Sudah pun bergelar juara dunia lima kali ketika itu, apa yang dilakukan oleh pelumba legenda Itali itu nampak pelik namun empat lagi gelaran dunianya terutama di MotoGP adalah bersama Yamaha.

Dan baru-baru ini, Rossi mendedahkan apa yang menjadi sebab mengapa dia meninggalkan Honda.

"Apabila saya menandatangani kontrak kedua saya bersama Honda, pada 2002, saya sudah pun 'Valentino Rossi'," kata Rossi dalam podcast Andrea Migno.

"Pengurus saya memberikan tekanan, kami meminta wang yang banyak. Tetapi Honda membuli kami. Honda berkata 'Ok', kemudian (menunggu)...

"Pada Januari mereka menghubungi kami dan berkata 'kami akan memberikan kamu wang ini, ini adalah pada penghujung Januari, apa perkara lain yang kamu boleh buat?'

"Mereka memperdaya kami secara ekonomi. Saya sepatutnya memperoleh jumlah yang lebih. Semua jentera di kelompok depan adalah Honda.

"Sebagai contoh ketika ini Pecco Bagnaia memutuskan untuk pergi ke Yamaha. Ia pasti satu kegilaan.

"Tetapi Honda tidak begitu baik. 'Valentino Rossi menang hanya kerana Honda'. Dalam setiap temuramah, mereka berkata 'lima jentera pertama kesemuanya adalah Honda, jadi jika Rossi di sana? Jadi Ok...'

"Honda kuat dan kukuh. Kami memutuskan untuk pergi ke Yamaha..."

Susulan keputusan itu, Honda menghalang Rossi untuk menguji jentera Yamaha pada ujian post-musim pada 2003 tetapi ia tidak menghalang juara dunia sembilan kali itu untuk menang perlumbaan pertama di Afrika Selatan yang masih dianggap antara pencapaian terbaiknya.