LEGENDA MotoGP Itali, Valentino Rossi mengakui antara perkara yang dikesalkan pada musim 2024 adalah tidak menghabiskan banyak masa bersama anak didiknya di Akademi VR46 di MotoGP.
Selepas menggantung sut lumbanya tiga tahun lalu, Rossi mula menceburkan diri dalam arena sukan permotoran empat roda.
Begitupun, tindakan itu mengehadkan kehadirannya di MotoGP sekalipun dia adalah salah seorang daripada pemilik pasukan yang bertanding di perlumbaan elit dua roda itu, VR46 Ducati.
"Saya menyesal apabila kurang bersama pasukan ketika perlumbaan (pada 2024) dan hanya meluangkan sedikit masa bekerja dengan pelumba-pelumba akademi kami," kata Rossi kepada Motorsport.
"Pada 2025 saya mahu lebih banyak hadir dalam perlumbaan-pelumbaan MotoGP, jadi saya juga akan mengurangkan perlumbaan kereta atas alasan itu."
Menurut laporan itu juga, pengambil alihan MotoGP oleh Liberty Media turut menjadi alasan buat juara dunia sembilan kali itu mengubah keutamaannya.
Seperti diketahui, Rossi memiliki hubungan cukup baik dengan beberapa pelumba utama dalam perlumbaan MotoGP ketika ini antaranya Francesco Bagnaia, Marco Bezzecchi, Franco Morbidelli dan adiknya sendiri, Luca Marini.
Bagnaia yang menjadi graduan pertama Akademi VR46 menjulang gelaran dunia MotoGP tewas dalam mempertahankan kejuaraan miliknya kepada pelumba Sepanyol, Jorge Martin.
Apa yang menarik, Bagnaia pada tahun ini akan ditemani oleh pelumba yang dianggap 'musuh' tradisi Rossi, Marc Marquez di box Ducati Lenovo.
Rossi pada tahun lalu menghangatkan kembali permusuhannya dengan Marquez apabila menuduh juara dunia lapan kali itu menjadi punca dia tidak berjaya menambah gelaran dunianya.
Selepas penghijrahan Pramac ke Yamaha, VR46 Ducati akan mengambil alih posisi sebagai pasukan satelit rasmi Ducati dengan pelumbanya, Fabio di Giannantonio turut diberikan jentera yang sama dengan Bagnaia dan Marquez.