VALENTINO Rossi Sasar VR46 Ducati Cabar Podium 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/27/20251 min read


PASUKAN satelit rasmi baharu Ducati, VR46 Ducati bakal memikul tugas besar pada kempen MotoGP musim ini dengan jangkaan kepada mereka jelas cukup tinggi.
Pada musim 2025, pasukan milik legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi itu mengambil tugas Pramac yang membuat keputusan menyertai Yamaha.
VR46 Ducati pada musim lalu mengalami penurunan prestasi ketara kerana selepas merangkul tiga kemenangan pada musim 2023, pasukan itu hanya meraih satu kedudukan podium pada 2024.
Situasi lebih mengecewakan buat Marco Bezzecchi yang jatuh daripada kedudukan ketiga keseluruhan kategori pelumba pada 2023 kepada tangga ke-12 sebelum membuat keputusan untuk angkat kaki menyertai Aprilia.
Seorang lagi pelumbanya, Fabio di Giannantonio berpeluang untuk menjadi pelumba yang menggunakan jentera GP23 kedua terbaik tetapi keputusan untuk meninggalkan kejuaraan lebih awal menyaksikannya terpaksa berpuas hati di kedudukan ke-10.
Tetapi dengan perubahan status sebagai pasukan satelit 'rasmi', Di Giannantonio menjadi satu-satunya pelumba di grid MotoGP 2025 akan menggunakan jentera Ducati Desmosedici GP25 selain dua pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dan Marc Marquez.
"Jangkaan untuk pasukan pada musim 2025 amat tinggi kerana kami adalah pasukan kedua Ducati dan Ducati pada ketika ini amat kompetitif dan amat kuat," kata Rossi.
"Jadi kami berharap yang kami mampu bersaing untuk merebut podium, memenangi beberapa perlumbaan jika mampu dan cuba untuk berada di kedudukan terbaik dalam kejuaraan, saya mahu katakan lima terbaik."
Selain Di Giannantonio, VR46 Ducati juga akan dipacu pelumba berpengalaman dan naib juara musim 2020, Franco Morbidelli.
"Kami gembira untuk memiliki dua pelumba Itali, malah seorang daripadanya daripada Akademi VR46. Dan saya fikir kami boleh menjadi amat kompetitif," kata Rossi.
