VALENTINO Rossi 'Tak Gembira' Layanan Yamaha Terhadap Franco Morbidelli

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/14/20231 min read

LEGENDA MotoGP Itali, Valentino Rossi didakwa 'tak gembira' dengan layanan Yamaha terhadap 'protegenya', Franco Morbidelli.

Selepas berbulan-bulan bermain dengan spekulasi, Morbidelli yang juga naib juara dunia MotoGP musim 2020 sah disingkirkan oleh Yamaha pada penghujung musim ini dan digantikan dengan Alex Rins.

Dan Rossi didakwa 'tidak bersetuju' dengan keputusan dibuat oleh bekas pasukannya itu, menurut laporan GPOne.

Sekalipun dikatakan turut tak gembira selepas 'disisihkan' pasukan utama untuk beraksi bersama pasukan satelit Yamaha, Petronas SRT pada musim 2021, Rossi masih memiliki hubungan baik dengan pengeluar Jepun itu hingga kini.

Malah pada awal musim ini, juara dunia sembilan kali itu turut menandatangani kontrak sebagai duta Yamaha.

Tetapi agak membingungkan adalah selepas perjanjian itu dibuat, Yamaha bertindak menyingkirkan salah seorang anak buah Rossi daripada pasukan itu iaitu Morbidelli.

Sebagai info, Morbidelli adalah salah seorang daripada empat 'graduan' Akademi VR46 dalam grid MotoGP musim ini yang turut termasuk penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia.

Dan penyingkiran Morbidelli itu nampak 'tak kena pada masanya' selepas Yamaha dikaitkan untuk bekerjasama dengan pasukan Rossi bermula pada musim 2025.

Ketika ini, salah seorang pelumba pasukan itu, Marco Bezzecchi dikatakan sedang menimbang untuk kekal bersama VR46 pada musim depan. Dan menurut laporan itu, kemungkinan Bezzecchi yang ketika ini antara pencabar kejuaraan dunia MotoGP 2023 'ada tetapi rendah' dan penyingkiran Moorbidelli nampak seperti mengeruhkan lagi keadaan.