VALENTINO Rossi Tak 'Pengaruhi' Dinamik Pelumba Ducati Lenovo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/21/20251 min read

DUCATI Lenovo menegaskan pelumba legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi tidak akan 'mempengaruhi' keharmonian dalam garaj pasukan itu yang turut menyenaraikan anak didiknya, Francesco Bagnaia.

Berbeza dengan musim lalu, Bagnaia pada tahun ini akan bergandingan dengan salah seorang 'musuh' ketat Rossi dalam karier legenda itu iaitu juara dunia lapan kali, Marc Marquez.

Justeru, timbul potensi yang kurang menyenangkan membabitkan Bagnaia dan Marquez. Dan sekalipun kedua-duanya menegaskan akan menghormati polisi yang dikeluarkan Ducati, ia tetap menghadirkan kata-kata kurang menarik namun dinafikan pengeluar Itali itu.

"Langsung tidak, kerana Pecco (Bagnaia) berfikir mengenai dirinya," kata Pengurus Ducati Lenovo, Davide Tardozzi kepada Motosan.

"Saya mengenali mereka di dalam kumpulan VR46 dengan amat baik, Pecco akan berkata apa yang difikirkan dan bukan apa yang orang lain mahu mendengar.

"Valentino dan siapa yang rapat dengannya memberikan pandangan mereka, dan Pecco berkongsi sesetengah daripadanya, tetapi bukan semua. Dia adalah seorang yang bijak dan boleh membuat pertimbangan sendiri dan mengikuti ideanya."

Tardozzi turut menafikan yang Bagnaia akan merasa cemburu dengan tumpuan yang diperoleh Marquez terutama dari sudut media dan penajaan.

"Tidak. Jika Marc menandatangani dengan pengeluar lain, media akan mempunyai minat yang sama terhadapnya," kata Tardozzi.

"Pecco tahu di mana tempatnya di Ducati, dia mempunyai kumpulan yang kukuh di sekelilingnya, dia mempunyai kredibiliti sebagai juara dunia MotoGP dua kali, dia mempercayai kami kerana dia tahu yang kami lakukan yang sebaik mungkin untuknya dan kehadiran Marc tidak akan mengambil apa-apa daripadanya."

Ducati melabel gandingan Bagnaia dan Marquez sebagai pasangan terbaik di MotoGP.