VARIAN Paling Atas Skuter VOGE SR4 MAX Pro Lancar Di China

VOGE SR4 MAX Pro adalah evolusi daripada siri skuter VOGE SR4 yang seperti diketahui dihasilkan dengan teknologi kejuruteraan Jerman dan tampil dengan peningkatan ari segi prestasi enjin, kualiti serta ciri keselesaan

TERKINI

12/30/20251 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal China yang ada kaitan dengan gergasi automotif Jerman, VOGE secara rasmi melancarkan varian terbaharu dalam segmen skuter maxinya, VOGE SR4 MAX Pro, baru-baru ini di pasaran negara Tembok Besar itu.

Sebagai info, VOGE SR4 MAX Pro adalah evolusi daripada siri skuter VOGE SR4 yang seperti diketahui dihasilkan dengan teknologi kejuruteraan Jerman. Menurut VOGE, VOGE SR4 MAX Pro tampil dengan peningkatan ari segi prestasi enjin, kualiti serta ciri keselesaan.

Di bahagian trenkuasa, VOGE SR4 MAX Pro dikuasakan enjin 350 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihasilkan adalah 25 kW pada 7,500 rpm serta tork 35 Nm pada 6,000 rpm.

Menurut VOGE, siri SR4 sudah mencatat jualan kumulatif melebihi 100,000 unit di pasaran global, sekali gus membuktikan tahap kebolehpercayaan produk.

Dan bagi VOGE SR4 MAX Pro, VOGE menawarkan jaminan lanjutan lima tahun atau 80,000 kilometer.

Dari segi penampilan, VOGE SR4 MAX Pro hadir dengan dua pilihan warna iaitu Gravel Black dan Mirror Sea Blue.

Menggunakan brek kaliper daripada J.Juan, suspensi KYB serta tayar daripada jenama Pirelli, VOGE SR4 MAX Pro dilengkapi tangki bahan api 12.8 liter dan berat 214 kg.