VESPA Elettrica Rasmi Masuk Pasaran Indonesia, RM 59.6k, Malaysia Menyusul?

TERKINI

8/14/20231 min read

SKUTER elektrik keluaran Vespa, Vespa Elettrica akhirnya menjengah pasaran negara jiran, Indonesia dan dilancarkan sempena acara Gaikindo Indonesia International Auto Show atau GIIAS 2023.

Dari sudut luaran atau penampilan, Vespa Elettrica nampak tidak asing atau unik kerana ia menggunakan platform yang sama dengan model terkenal jenama Itali itu, Vespa Primavera.

Tetapi untuk menampakkan sosoknya sebagai skuter elektrik, ia tampil dengan skema warna dan corak grafik yang agak berbeza terutama menerusi garisan biru cair di bahagian sisi skuter berkenaan.

Pilihan warna eksklusif itu dikenali sebagai Azzurro Elettrico.

Sebelum pergi lebih jauh, Vespa Elettrica ini dijual pada harga boleh dikatakan 'seram' dan premium iaitu Rp. 198,000,000 (RM 59,598) Atas Jalan Jakarta.

Tampil dengan penawaran harga yang premium, Vespa Indonesia berkata Vespa Elettrica akan ditawarkan dalam unit terhad malah pembelinya juga dipilih oleh syarikat itu.

Memacu Vespa Elettrica adalah motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 4,2 kWh dan tork sekitar 200 Nm. Motor elektrik itu dijana bateri lithium-ion (Tak boleh ditanggalkan) buatan LG dengan berat 25 kg.

Bateri yang digunakan mempunyai kuasa setinggi 1,500 watt 220v. Tempoh mengecas adalah sekitar 4 ke 8 jam untuk penuh. Sebagai tambahan, sistem bateri Vespa Elettrica turut datang dengan teknologi canggih Kinetic Energy Recovery System (KERS).

Dengan berat sekitar 130 kg (termasuk bateri), skuter ini turut memiliki gear mengundur yang memudahkan.

Disasarkan untuk kegunaan dalam bandar, kelajuan tertinggi skuter ini didakwa 67 km/j. Memiliki dua mod tunggangan, Eco dan Power, jarak tunggangan untuk kedua-dua mod ini adalah seperti berikut:

  • 100 km - Eco

  • 70 km - Power

Tampil dengan jaminan bateri selama 3 tahun, bateri yang digunakan di Vespa Elettrica mencapai spesifikasi IP65. Justeru, ia tidak boleh dibasuh menggunakan penyembur air bertekanan tinggi.

Sebagai skuter moden, Vespa Elettrica dipadankan dengan panel meter TFT berwarna bersaiz 4.3 inci dan memiliki ciri sambungan ke telefon pintar menerusi VESPA MIA.

Di Malaysia, apa yang boleh dikatakan tiada sebarang petanda pihak Piaggio Malaysia akan membawa masuk Vespa Elettrica dalam tempoh terdekat. Begitupun, ia boleh berubah dan kami akan melaporkannya jika memperoleh maklumat.