VESPA GTV 300 (2023) Kini Di Malaysia, RM 35.9k (asas), Vespa 'Paling Kacak' Dirasmikan

PELANCARAN

9/17/20231 min read

VESPA yang dilabel paling 'kacak' dan bergaya, Vespa GTV 300 (2023) secara rasmi memasuki pasaran Malaysia dan tiba pada tanda harga menarik, RM 35,900 (asas).

Membuat kemunculan sulung ketika EICMA di Itali tahun lalu, pelancaran Vespa GTV 300 (2023) dilakukan Vespa Malaysia sempena Malaysia Vespa Festa 2023 di Johor Bahru, hari ini.

Kepada peminat sejati Vespa, nama GTV memang tidak asing dan dikenali sebagai model paling 'Sporty' jenama skuter premium berkenaan.

Diperkenalkan buat pertama kali sejak tahun 2006, GTV pantas menjadi salah satu model ikonik dan 'diburu' peminat jenama itu.

Mengulas perincian Vespa GTV 300 (2023), kemas kini yang dibuat boleh dikatakan menyeluruh termasuklah di bahagian rekaan, peningkatan teknologi dan mungkin paling mengujakan, prestasi.

Kekal dengan gaya ikonik 'Sei Gironi', paling menonjol pastinya penggunaan lampu utama yang diposisikan di bahagian 'mudguard' yang menjadi ciri unik model GTV.

Dua pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu:

  • Beige Sabbia Glossy

  • Grey Titanio Glossy

Di bahagian trenkuasa, Vespa GTV 300 (2023) dipadankan dengan enjin 300 HPE bersesaran 278 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang menghasilkan kuasa setinggi 23.8 Hp.

Sebagai antara model terbaharu dan termoden, Vespa GTV (2023) turut didatangkan dengan ciri bantuan tunggangan seperti Kawalan Traksi ASR dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Ciri-ciri menarik lain termasuklah sistem lampu LED penuh, Sistem Tanpa Kunci, Panel Meter Digital Penuh dengan rekaan yang 'padan' dengan gaya skuter berkenaan.

Apa yang unik, unit kluster instrumen meter skuter berbentuk bulat ini diposisikan di bahagian bar hendal menerusi braket khas.

Seperti model-model skuter moden lain, ia turut dilengkapi dengan teknologi sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth via sistem konektiviti Vespa MIA namun ciri ini datang secara pilihan.

Turut tersedia adalah penutup pelana pembonceng dengan warna yang sama dengan warna utama. Begitupun, ia datang secara pilihan.

Sebagai model paling 'sporty', rekaan pelana Vespa GTV 300 (2023) tampil dengan gaya 'racing' dan lagi menarik, setiap pembelian akan menerima dua 'visor' yang berlainan warna (jingga dan warna asal).