VESPA GTV 300, Sprint 150 Edisi Khas Officina 8 Rasmi Di Malaysia, Bermula RM 22k!

Officina 8 menjadi simbol penghormatan kepada jurutera, pereka dan mekanik yang melahirkan prototaip Vespa pertama, termasuk model legenda '98 Corsa' yang mencatat 17 rekod kelajuan dan enduran dunia pada 1950

PELANCARAN

12/19/20251 min read

VESPA Malaysia secara rasmi memperkenalkan Vespa Officina 8, model edisi khas yang diinspirasikan daripada sejarah jenama asal Itali itu untuk pasaran tempatan dan hadir menerusi model ikonik - Vespa Sprint 150 Officina 8 dan Vespa GTV 300 Officina 8 (2025).

Kepada yang tak tahu, Officina 8 menjadi simbol penghormatan kepada jurutera, pereka dan mekanik yang melahirkan prototaip Vespa pertama, termasuk model legenda '98 Corsa' yang mencatat 17 rekod kelajuan dan enduran dunia pada 1950.

Untuk dua model ikonik Vespa Sprint 150 Officina 8 dan Vespa GTV 300 Officina 8, antara keistimewaan paling ketara adalah kedua-duanya tampil dengan warna eksklusif Blu Officina 8.

Tiada perubahan dari sudut spesifikasi trenkuasa, model khas ini turut dicantikkan dengan kemasan logam satin aluminium dan aksen tembaga yang menyerlahkan gaya industri klasik.

Penampilannya turut dipertingkatkan dengan pelana jahitan khas, rivet tembaga, serta aksesori seperti cermin sisi matte hitam dan fairing rigid pada GTV, menjadikannya lebih sporty.

Lebih menarik, setiap unit model Officina 8 akan disertakan dengan 'Welcome Kit' berupa bekas tin edisi khas yang mengandungi buku pemilik, selain koleksi pakaian kapsul bertema bengkel industri – termasuk jaket kalis air, hoodie kapas, T-shirt premium, beg sukan dan rantai kunci eksklusif.

Harga jualan yang diumumkan untuk Vespa Sprint 150 Officina 8 adalah RM 22,000 (asas).

Bagi Vespa GTV 300 Officina 8, ia dijual pada harga asas RM 37,900 dan sudah boleh didapati di semua pengedar sah Vespa di seluruh negara.