VESPA Malaysia Lancar 3 Model Platform 180 cc, Mula RM 21.5k!

Tidak sekadar menerima kemas kini kosmetik, evolusi terbesar ketiga-tiga yang dilancarkan - Vespa Primavera S 180, Vespa Sprint S 180 dan Vespa Sprint Tech 180 (2026) - adalah lonjakan kuasa menerusi penggunaan enjin i-get 180cc yang dinaik taraf

TERKINI

8/2/20261 min read

VESPA Malaysia merancakkan acara tahunan Art of Speed (AoS) 2026 dengan melancarkan 3 model baharu yang dipadankan dengan platform enjin 180 cc, Vespa Primavera S 180, Vespa Sprint S 180 dan Vespa Sprint Tech 180 (2026).

Sebelum pergi lebih jauh, tanda harga yang diletakkan adalah seperti berikut:

  • Vespa Primavera S 180 - RM 21,500

  • Vespa Sprint S 180 - RM 21,900

  • Vespa Sprint Tech 180 - RM 23,500

Seperti biasa, angka harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Tidak sekadar menerima kemas kini kosmetik, evolusi terbesar ketiga-tiga model ini adalah lonjakan kuasa menerusi penggunaan enjin i-get 180cc yang dinaik taraf.

Menurut Vespa Malaysia, trenkuasa ini menjanjikan pecutan yang lebih lancar, efisien serta keupayaan prestasi yang lebih meyakinkan untuk mobiliti urban mahupun tunggangan santai hujung minggu.

Pengarah Eksekutif Didi Group, Juan, berkata kehadiran 3 model ini bukan sekadar skuter dengan enjin lebih besar, sebaliknya ia mewakili evolusi teknologi pintar yang mampu memberikan pengalaman tunggangan memuaskan tanpa meminggirkan identiti klasik Itali yang menjadi kegilaan ramai.

Selari dengan gaya hidup penunggang moden, Vespa turut menyuntik teknologi premium di mana varian 'S' dan 'Tech' kini didatangkan dengan sistem operasi tanpa kunci.

Selain itu, varian kelas atas Vespa Sprint Tech 180 dilengkapi skrin paparan warna penuh TFT bersaiz 5-inci, serta sistem brek cakera berkembar dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran demi jaminan kawalan dan keselamatan maksimum di jalan raya.

Sempena meraikan warisan lapan dekad jenama itu, barisan model terbaharu ini turut dipadankan dengan emblem peringatan Ulang Tahun ke-80.

Estetika klasiknya turut diperhalusi dengan rekaan rim terbaharu, perincian badan yang disegarkan, serta cangkuk beg boleh lipat yang lebih praktikal.

Bagi memenuhi cita rasa peribadi penunggang, Vespa Primavera S 180 tampil elegan dengan kemasan gangsa premium, manakala Vespa Sprint S 180 lebih menonjol dengan karakter dinamik menerusi aksen merah sporty.

Vespa Sprint Tech 180 pula mendominasi portfolio sebagai model paling maju pernah dihasilkan di bawah lencana Sprint.

Apa yang menarik, Vespa Malaysia turut menampilkan jaminan kilang komprehensif selama empat tahun atau jarak perbatuan 60,000 kilometer (km).

Model terbaharu ini sudah mula berada di semua cawangan pengedar sah Vespa seluruh negara bermula bulan ini.