VESPA Menang Kes 'Klon' Lawan Skuter China

TERKINI

12/15/20231 min read

VESPA, pengeluar skuter terkemuka dan ikonik Itali akhirnya memenangi kes mahkamah yang berlarutan hampir sedekad terhadap pengeluar China, Zhejiang Zhongneng membabitkan rekaan.

Terkenal dengan rekaan klasik yang tersendiri, reka bentuk skuter Vespa memang mengujakan dan ia menarik pelbagai pegeluar lain untuk meniru gaya sama terutama dari China.

Begitupun, ada satu syarikat memang benar-benar 'mencabar' kesabaran Vespa iaitu Zhejiang Zhongneng Industry Group yang menghasilkan skuter cukup mirip dengan model-model jenama itu.

Vespa mengambil tindakan dengan membuat aduan kepada Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO) pada 2014 membabitkan isu berkenaan.

Sekalipun mendapat bantahan daripada Vespa, Zhejiang Zhongneng Industry Group yang menggunakan jenama ZNEN berjaya memfailkan tanda dagang untuk skuternya dijual di Eropah.

Berdasarkan laporan daripada Cycle World, syarikat itu memanfaatkan 'hubungannya' sebagai pemilik jenama motosikal Itali, Moto Morini untuk menghalang bantahan Vespa.

Begitupun dalam perkembangan terbaharu, Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (CJEU), baru-baru ini memutuskan yang Vespa memenangi kes berkenaan dan secara rasmi mengiktiraf rekaan Vespa dengan menyatakan bahawa ia tidak boleh ditiru.

Atas keputusan terbaharu dan arahan daripada CJEU itu, Zhejiang Zhongneng Industry Group tidak dibenarkan lagi untuk menjual atau mengimport produk ZNEN di atau ke Eropah.