VESPA Paling 'Sporty', Vespa GTV 300 (2023) Jadual Lancar Sempena Malaysia Vespa Festa 2023 Di JB

TERKINI

9/15/20231 min read

SELEPAS membuat kemunculan sulung ketika Pameran Motosikal Milan (EICMA) tahun lalu, model Vespa yang dilabel paling 'Sporty', Vespa GTV 300 (2023) dijadual membuat penampilan rasminya di Malaysia, esok.

Kepada yang tak tahu, Vespa memperkenalkan model GTV buat pertama kali pada tahun 2006 dan ia pantas menjadi salah satu model ikonik dan 'diburu' peminat jenama itu.

Dan untuk versi terbaharu Vespa GTV (2023), pembaharuan yang dilakukan oleh syarikat pengeluar skuter mewah Itali itu boleh dikatakan menyeluruh termasuklah di bahagian rekaan, peningkatan teknologi serta prestasi.

Dari sudut rekaan, Vespa GTV (2023) kekal dengan gaya 'Sei Gironi' namun paling menonjol pastinya penggunaan lampu utama yang diposisikan di bahagian 'mudguard' yang menjadi ciri unik model berkenaan.

Selain itu, padanan skema warna 'Beige Avvolgente Opaco' yang disepadukan dengan corak garisan berwarna jingga di panel sisi dan pelindung angin di bahagian depan dengan penggunaan warna dua tona di bahagian pelana turut menyerlahkan lagi penampilannya.

Mengulas trenkuasa, Vespa GTV (2023) berkongsi trenkuasa dengan Vespa Sei Giorni 300 iaitu dijana enjin 300 HPE iaitu enjin bersesaran 278 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api. Kuasa yang dihasilkan adalah setinggi 23.8 Hp.

Sebagai motosikal moden, Vespa GTV (2023) turut didatangkan dengan pelbagai ciri bantuan tunggangan elektronik seperti Kawalan Traksi ASR dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Selain itu, ia turut dipadankan dengan ciri seperti sistem lampu LED penuh, Sistem Tanpa Kunci, Panel Meter Digital Penuh berbentuk bulat dengan rekaan yang 'serasi' dengan gaya skuter berkenaan.

Lebih menarik, kluster instrumen meter itu diposisikan di bahagian bar hendal menerusi braket khas dan turut dilengkapi dengan teknologi sambungan ke telefon bimbit menerusi Bluetooth via sistem konektiviti Vespa MIA.