VESPA Perkenalkan Vespa Piaggio 140th Anniversary SE (2024), Terhad 140 Unit!

TERKINI

4/17/20241 min read

SEBAGAI antara cara untuk meraikan ulang tahun ke-140 syarikat induk Piaggio, pengeluar skuter ikonik Itali Vespa memperkenalkan model istimewa Vespa Piaggio 140th Anniversary Special Edition (2024).

Seperti namanya, Vespa Piaggio 140th Anniversary Special Edition (2024) dihasilkan dalam unit cukup terhad - 140 unit - dan didakwa menjadi antara model paling eksklusif pernah dihasilkan jenama itu setakat ini.

Untuk meningkatkan lagi tahap eksklusif itu, Vespa membuka tempahan selama empat hari pada 18-21 April, tarikh yang sama sempena Rali Hari Vespa Dunia 2024.

Kepada yang tidak tahu, Piaggio adalah syarikat induk kepada Vespa serta beberapa lagi jenama seperti Aprilia dan Moto Guzzi dan ditubuhkan 140 tahun lalu pada 1884.

Secara asasnya, Vespa Piaggio 140th Anniversary Special Edition (2024) dihasilkan menggunakan platform Vespa GTV.

Justeru ia dipadankan dengan enjin 300 HPE, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api menghasilkan sekitar 24 Hp. Dan ia adalah model paling berkuasa jenama itu setakat ini.

Tampil dengan gaya klasik, Vespa Piaggio 140th Anniversary Special Edition (2024) dipadankan dengan pelbagai ciri moden antaranya panel meter jenis digital LCD lengkap dengan sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi Vespa MIA, Sistem Kunci Pintar, Kawalan Traksi dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Tetapi apa yang menjadikan Vespa Piaggio 140th Anniversary Special Edition (2024) istimewa adalah skema warna dan corak grafik yang dipadankan iaitu gabungan Putih dan Biru yang juga warna korporat Piaggio.

Tidak hanya di bahagian panel, penggunaan warna berkenaan turut dibuat di bahagian pelana dan roda manakala ekzos, pemijak kaki pembonceng dipadankan dengan warna hitam.

Sebagai model istimewa, setiap unit akan ditandakan dengan nombor yang diposisikan di belakang visor selain logo 140th.

Setakat ini, Vespa belum memaparkan harga jualan bagi Vespa Piaggio 140th Anniversary Special Edition (2024) dan tidak diketahui sama ada ia akan 'mendarat' di pasaran Malaysia atau tidak.