VESPA Sprint Tech (2025) Lancar Di Malaysia, RM 22.9k!
PELANCARAN
5/9/20251 min read


VESPA Malaysia sempena acara Malaysia Autoshow 2025 yang sedang berlangsung melancarkan penawaran terbaharunya, Vespa Sprint Tech (2025), hari ini bersama harga menarik, RM 22,900 (asas).
Sekalipun tampak seperti tiada perubahan besar dari sudut rekaan, Vespa Sprint Tech (2025) dikatakan memperoleh set lampu signal baharu yang dikatakan menambahkan 'kehenseman' skuter ini ketika butang 'bike finder' ditekan.
Tetapi apa yang lebih menarik, seperti namanya yang memiliki perkataan 'Tech', ia dipadankan dengan beberapa ciri daripada sudut teknologi yang menjadikannya lebih canggih.
Sebelum pergi lebih jauh, dua pilihan warna ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Black dan Warm Grey dengan kedua-duanya memperoleh kemasan jalur 'Fluo-Green'.
Antara pembaharuan paling ketara adalah pengunaan panel meter warna penuh TFT 5 inci yang memiliki dua mod siang dan malam.
Selain itu, ia turut memiliki ciri sambungan ke telefon pintar melalui aplikasi Vespa MIA yang membenarkan pemilik mengakses pelbagai maklumat seperti notifikasi panggilan dan mesej, muzik, media sosial dan banyak lagi.
Dan apa yang lebih menarik, buat pertama kalinya, model Vespa Sprint dipadankan dengan ciri navigasi GPS yang lengkap dengan pelbagai maklumat seperti jarak perjalanan, masa ketibaan, laluan dan lain-lain.
Ciri eksklusif lain yang dipadankan kepada Vespa Sprint Tech (2025) adalah sistem kunci pinta atau 'Keyless' yang memiliki ciri menarik di mana penunggang boleh membuka, menghidupkan atau mengunci skuter tanpa mengeluarkan kunci dari poket.
Di bahagian trenkuasa, Vespa Sprint Tech (2025) dipadankan dengan enjin i-get bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 3 Injap, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan APi yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah 11.9 Hp @ 7,250 rpm dan tork 12.7 Nm @ 5,750 rpm.
Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal bersaiz 200 mm (depan) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) satu saluran dan brek dram 140 mm.
Informasi lain adalah seperti kapasiti tangki bahan api 8.5 liter, set roda 110/70-R12 (depan) dan 120/70-R12 (belakang).


















