VESPA X Disney Mickey Mouse Edition (2023) Mendarat Di Malaysia, RM 22.9k!

TERKINI

12/22/20231 min read

VESPA Malaysia meningkatkan penawaran edisi istimewanya, hari ini dengan mengumumkan kehadiran model edisi terhad Vespa X Disney Mickey Mouse Edition (2023).

Menggunakan asas model Vespa Primavera 150, Vespa X Disney Mickey Mouse Edition (2023) dijual pada harga cukup menarik dalam kelasnya iaitu RM 22,900 (asas).

Dan seperti model istimewa lain, Vespa X Disney Mickey Mouse Edition tampil dengan penampilan berbeza dan menarik menerusi corak grafik dan warna mengikuti watak rekaan kartun kegemaran ramai Mickey Mouse iaitu kuning, hitam dan merah.

Diperkenalkan di pasaran global pada Jun lalu, penghasilan Vespa X Disney Mickey Mouse Edition (2023) adalah sebagai meraikan ulang tahun ke-100 Disney.

Tiba pada tiga versi 50 cc, 125 cc dan 150 cc, seperti dinyatakan hanya versi 150 cc mendarat di Malaysia.

Dari sudut penampilan, penggunaan warna kuning pada 'Mud Guard' depan dan rim mengambil ilham daripada warna kasut Mickey Mouse.

Penggunaan warna hitam pula diambil daripada telinga watak berkenaan dan warna merah daripada seluar yang digunakan.

Mengulas ringkas trenkuasa, Vespa X Disney Mickey Mouse Edition (2023) dipadankan dengan enjin i-get bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 3 Injap, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 12.5 Hp dan tork 12.4 Nm.

Apa yang lebih istimewa, setiap pembelian Vespa X Disney Mickey Mouse Edition akan turut menerima helmet khas yang turut menyerupai corak grafik dan warna skuter berkenaan.

Sebagai info dan kepada yang tak tahu, Didi Group adalah pengedar rasmi dan eksklusif jenama Vespa di Malaysia.