VOGE AS25 Academy Racing Tayang 'Liveri', Senarai Pelumba Di Cub Prix, ARRC 2025!

TERKINI

2/27/20251 min read

VOGE AS25 Academy Racing, mengikuti pelancaran pasukan itu pada bulan lalu memperkenalkan corak 'liveri' dan barisan pelumba itu yang dijadual membuat debut di pentas Kejuaraan Malaysia Cup Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada musim 2025, hari ini.

Seperti namanya, pasukan Voge AS25 Academy Racing diketuai oleh Ikon Sukan Permotoran Negara iaitu Azlan Shah Kamaruzaman.

Dan pasukan itu akan menggunakan jentera 'kapcai super' Voge Formica Rossa FR150 dalam kedua-dua kejuaraan berprestij berkenaan.

Di pentas Cub Prix, pasukan itu akan beraksi dalam kelas elit CP150 dan dipacu dan pelumba berpengalaman, Muhammad Muzakkir Mohamed, Muhammad Afizad Supaat dan Muhammad Afizi Supaat.

Manakala di pentas ARRC, pasukan itu akan berentap dalam kelas Underbone 150 (UB150) dan menyenaraikan pelumba tunggal iaitu Muhammad Afizi Supaat.

Azlan yang bertindak sebagai Prinsipal pasukan mengakui berbangga dengan kerjasama yang dijalankan bersama Voge Malaysia.

"Seperti yang semua tahu, BMW Motorrad dan VOGE mempunyai kerjasama yang erat dan ia membuatkan saya yakin terhadap kualiti dan prestasi Voge," kata Azlan yang juga bekas pelumba Moto2 dan juara Asia.

"Bersama barisan pelumba dan krew yang berpengalaman serta berkemahiran tinggi, saya yakin pasukan mampu memberi saingan sengit dalam musim 2025.

"Saya berazam untuk terus berkembang, mencipta kejayaan dan membawa nama pasukan ke tahap lebih tinggi. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya terutama oleh MForce dan Voge Malaysia."

Menyertai Azlan di Voge AS25 Academy Racing adalah bekas pelumba, Alizan Tambi sebagai Penasihat dan Roosnizam Mohd Nor atau lebih dikenali Obert (Pengurus Pasukan).

Sementara itu, Pengarah Safe Aim Mutual (SAM) yang juga promoter kepada Cub Prix, Ron Hogg berkata pasukan itu melepasi peraturan homologasi untuk beraksi pada bulan lalu.

Mengulas ringkas mengenai Voge Formica Rossa FR150, ia adalah model terbaharu di pasaran tempatan yang dipadankan dengan enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digadingkan dengan transmisi 6 kelajuan.

Secara standard, ia menghamburkan kuasa sebesar 15.4 Hp pada 8,500 rpm dan tork 13.5 Nm pada 7,500 rpm.

Ciri-ciri menarik termasuklah seperti klac 'Slipper', ABS dua saluran, brek cakera depan dan belakang, tangki bahan api 5.8 liter dan soket pengecas USB.