VOGE CU-X Didedahkan, Model Konsep Hibrid Dengan Teknologi Pintar!
Tampil dengan rekaan futuristik dan bagaikan motosikal masa depan, Voge CU-X turut dipadankan dengan platform teknologi canggih serba baharu syarikat itu yang dinamakan sebagai 'Jiyu Smart Mobility'
TERKINI
9/23/20261 min read


PENGELUAR motosikal China, Voge mencuri tumpuan di Pameran Motosikal Antarabangsa China (CIMA) 2026 di Chongqing apabila mendedahkan model motosikal konsep hibrid petrol-elektrik dikenali sebagai Voge CU-X.
Tampil dengan rekaan futuristik dan bagaikan motosikal masa depan, Voge CU-X turut dipadankan dengan platform teknologi canggih serba baharu syarikat itu yang dinamakan sebagai 'Jiyu Smart Mobility'.
Menerusi laporan pelancaran di China, platform 'Jiyu Smart Mobility' merangkumi integrasi kuasa hibrid, sistem suspensi aktif, kawalan kestabilan, serta sistem pintar yang mampu melakukan pelarasan postur atau tahap kecondongan motosikal secara automatik.
Bagi aspek keterhubungan pula, sistem itu memanfaatkan fungsi kedudukan satelit (GPS) dan maklumat sensor untuk menyalurkan amaran amaran bahaya serta keadaan jalan raya secara masa nyata kepada penunggang.
Ia turut menyokong sambungan terus kepada telefon pintar dan jam tangan pintar bagi memudahkan capaian maklumat tunggangan serta nasihat perjalanan.
Meskipun mempertontonkan Voge CU-X kepada umum, Voge masih mengunci mulut mengenai spesifikasi teknikal rangkaian kuasa hibrid berkenaan. Tiada perincian jelas mengenai cara enjin petrol dan motor elektriknya bekerjasama, mahupun data penjimatan bahan api yang disasarkan.
Justeru, pengenalan Voge CU-X ini lebih disifatkan sebagai manifestasi keupayaan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Voge, berbanding petanda model itu akan memasuki produksi pengeluaran massa dalam masa terdekat.
Begitupun, Voge dilapor merancang untuk memperkenalkan elemen teknologi canggih daripada platform itu secara berperingkat ke dalam barisan pengeluaran motosikal sedia ada, dengan pengumuman ciri khusus bagi setiap model akan dibuat dari semasa ke semasa.



