VOGE DS800X Mendarat Di China, Petanda Kehadiran Di Malaysia Dah Dekat?

Diposisikan sebagai model yang berkemampuan untuk mengharungi tunggangan jarak jauh dan melayan pelbagai rupa bentuk bumi, Voge DS800X hadir sebagai model yang memiliki rangkaian kuasa dan tetapan casis yang menarik

TERKINI

3/11/20261 min read

PENGELUAR motosikal terkemuka China, VOGE baru-baru ini melancarkan model motosikal kembara yang boleh dikatakan mengujakan, VOGE DS800X untuk pasaran domestiknya, sekali gus memberi bayangan model ini bakal menembusi pasaran dengan lebih meluas termasuk Malaysia.

Bagi pasaran China, Voge DS800X ditawarkan pada harga permulaan yang cukup kompetitif iaitu RMB 39,980 (kira-kira RM 22,940).

Pembeli yang mahukan versi lengkap dengan tiga kotak bagasi aluminium perlu menambah RMB 4,000 (kira-kira RM 2,300).

Diposisikan sebagai model yang berkemampuan untuk mengharungi tunggangan jarak jauh dan melayan pelbagai rupa bentuk bumi, Voge DS800X hadir sebagai model yang memiliki rangkaian kuasa dan tetapan casis yang menarik.

Dari aspek prestasi, Voge DS800X dikuasakan enjin silinder berkembar sebaris 798 cc yang menampilkan konfigurasi crankshaft 270 darjah.

Ia berupaya menghamburkan kuasa maksimum 94 Hp pada 9,000 rpm dan tork 81 Nm pada 6,500 rpm.

Sebagai info, kualiti kejuruteraan VOGE tidak perlu dipertikaikan lagi memandangkan jenama ini mempunyai jalinan kerjasama strategik yang kukuh bersama gergasi permotoran Jerman, BMW Motorrad.

Malah, rekod jentera ini di peringkat global Voge DS800X sebenarnya sudah pun menjejakkan kaki ke pasaran Eropah pada tahun lalu dan ia dengan pantas berjaya mendominasi carta sebagai model ADV paling laris di beberapa buah negara, termasuk di United Kingdom (UK).

Bagi pasaran tempatan, kami difahamkan Voge Malaysia meletakkan Voge DS800X sebagai antara keutamaan untuk dibawa ke Malaysia.

Untuk rekod, pada tahun lalu wakil media permotoran Malaysia turut diberi peluang eksklusif untuk melawat ibu pejabat VOGE di Chongqing dan menguji sendiri kemampuan Voge DS800X ini dan maklum balas diterima memberangsangkan.