VOGE DS800X Rally (2025) Bakal 'Mendarat' di Eropah, RM 41.5k!

VOGE, jenama motosikal premium asal China terus melebarkan sayapnya di peringkat global apabila bakal memperkenalkan model terbaharunya, Voge DS800X Rally (2025) - motosikal bergaya 'adventure' aras tengah di Eropah

TERKINI

6/24/20252 min read

JENAMA motosikal premium asal China, Voge terus melebarkan sayapnya di peringkat global apabila bakal memperkenalkan model terbaharunya, Voge DS800X Rally (2025) - motosikal bergaya 'adventure' aras tengah di Eropah.

Dan lokasi Voge DS800X Rally (2025) akan dipertontonkan buat kali pertama secara umum adalah ketika acara motosikal 'ADV' terbesar di UK, Adventure Bike Rider Festival 2025 yang berlangsung pada 27 hingga 29 Jun di Ragley Hall Estate, Warwickshire.

Selain acara terbesar di UK untuk peminat motosikal adventure, ia turut diiktiraf sebagai pesta permotoran pengembaraan paling meriah di dunia.

Ditawarkan pada harga permulaan sekitar £6999 (sekitar RM42,000) ditambah £200 kos pendaftaran jalan (OTR), Voge DS800X Rally memberi nilai luar biasa dengan spesifikasi yang mengagumkan. Pelancarannya dijangka bermula sekitar Ogos 2025, dengan pengedaran awal tertumpu kepada pasaran UK dan Eropah.

Di sebalik reka bentuk agresifnya tersembunyi enjin KEL800 parallel-twin bersesaran 798 cc, 2 Silinder, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 92.5 Hp pada 9,000 rpm dan tork 81 Nm pada 6,500rpm.

Tampil dengan penggayaan agresif mirip BMw F900GS, Voge DS800X Rally menggunakan kerangka keluli double cradle dan disokong sistem suspensi USD KYB 43 mm dengan jarak gerak 200 mm (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan jarak gerak 190 mm (belakang).

Jarak lega bumi 220 mm manakala tinggi tempat duduk ditetapkan pada 850 mm yang tampak cukup seimbang untuk keselesaan dan kawalan ketika tunggangan lasak.

Sistem brek menggunakan cakera berkembar 298 mm dengan kaliper dibekalkan oleh Nissin radial 4 piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm piston tunggal (belakang) dengan set rim jenis jejari 21 (depan) dan 18 inci (belakang) dengan Pirelli Scorpion STR.

Menariknya, Voge juga melengkapkan model ini dengan pelbagai kelengkapan yang biasanya hadir sebagai aksesori pilihan seperti damper, pemanas tempat duduk dan grip, pelindung tangan, tapak tengah, pelindung bawah enjin, dan cermin sisi boleh lipat.

Dari segi elektronik, Voge DS800X Rally menawarkan pelbagai fungsi canggih seperti mod tunggangan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Cengkaman (boleh nyahaktif), panel meter TFT penuh warna menegak, Sistem pemantauan tekanan tayar dan kamera dashcam 1080p dengan rakaman audio terbina dalam.

Turut tersedia port pengecasan USB-A dan USB-C, sistem pencahayaan LED penuh, kapasiti tangki bahan api 24 liter dan berat 214 kg.