VOGE DS800X Rally (2026) Rasmi Di Malaysia, RM 39,888!

Menariknya, kehadiran model bergaya 'Adventure touring' Voge DS800X Rally (2026) di pasaran Malaysia adalah antara yang terawal di rantau Asia Tenggara

PELANCARAN

5/31/20262 min read

VOGE Malaysia meningkatkan penawaran untuk model kembara atau 'Adventure touring' dalam katalognya apabila melancarkan model yang berjaya mencetus sensasi di Eropah, Voge DS800X Rally (2026).

Apa yang menarik, kehadiran Voge DS800X Rally (2026) di pasaran Malaysia adalah antara yang terawal di rantau ini.

Tampil dengan rekaan yang cukup menarik dalam segmennya, Voge DS800X Rally (2026) turut ditawarkan pada harga yang sangat kompetitif iaitu RM 39,888 (asas) tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

Tiga pilihan warna ditawarkan untuk pasaran tempatan iaitu Putih, Kuning, dan Hitam.

Di bahagian trenkuasa, Voge DS800X Rally (2026) dipadankan dengan enjin bersesaran 798 cc, 2 Silinder, 8 Injap, Penyejuk Cecair, DOHC yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan klac manual.

Angka kuasa cukup menarik iaitu 93.8 Hp pada 9,000 rpm dan tork 81 Nm pada 6,500 rpm.

Sebagai jenama yang memiliki kerjasama strategik bersama pengeluar gergasi Jerman, BMW Motorrad, justeru bukan sesuatu yang pelik untuk Voge DS800X Rally (2026) memikat hati pengguna termasuk di Eropah.

Tiba dengan varian 'Rally', Voge DS800X Rally (2026) dilengkapi dengan rim jejari bersaiz 21 inci (depan) dan rim jejari 18 inci (belakang).

Sistem suspensi menggunakan fork jenis terbalik (USD) dari jenama Kayaba jarak gerak 200 mm yang boleh laras penuh (depan) dan penyerap hentak tunggal dengan jarak gerak 190 mm (belakang).

Tugas membrek pula dikendalikan oleh cakera berkembar dengan kaliper Nissin (depan) dan cakera tunggal di belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran.

Seperti motosikal moden lain, ia turut dilengkapi dua mod tunggangan iaitu Eco dan Sport, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktifkan, serta sistem pemantau tekanan angin tayar (TPMS).

Selain itu, ciri-ciri menarik lain adalah seperti panel meter TFT tujuh inci, ciri pemanas tempat duduk dan pemegang, lampu kabus, perakam video (dashcam) hadapan, serta perlindungan lengkap merangkumi pelindung bawah enjin (skid plate), panel tepi, dan pelindung tangan.

Melengkapkan pakej sedia kembara ini ialah set kotak simpanan barangan (panniers) tepi dan belakang (3 kotak), soket pengecas USB dwi-port (A dan C), serta pengantuk stereng (steering damper) yang boleh dilaras.

Dan mungkin antara perkara yang mencetus keterujaan kaki touring, Voge DS800X Rally (2026) yang seberat 213 kg dilengkapi dengan tangki bahan api 24 liter