VOGE DS900X (2025) Rasmi Di Malaysia, RM 49,998!
PELANCARAN
2/28/20252 min read


VOGE Malaysia, hari ini melancarkan penawaran terbaharunya di pasaran tempatan yang dijangka menggembirakan peminat motosikal jenama itu dalam segmen 'Adventure touring', Voge DS900X (2025).
Seperti diketahui, Voge adalah jenama motosikal China iaitu Loncin yang juga pengeluar enjin terkemuka dengan antara rakan kerjasamanya di peringkat global adalah BMW Motorrad.
Justeru, Voge DS900X (2025) boleh dikatakan 'saudara' kepada salah satu model popular jenama Jerman itu, BMW F900GS khususnya menerusi trenkuasa yang digunakan.
Untuk pasaran Malaysia, tiga pilihan ditawarkan iaitu Aviator Blue, Lime Green dan Matt Black.
Dan mungkin paling menarik adalah harga jualan yang diumumkan iaitu RM 49,998 (tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran).
Tampil dengan rekaan garang sebagai model 'Adventure touring', turut menarik adalah motosikal ini bukan saja memiliki trenkuasa yang mengagumkan, tetapi turut dipadankan dengan pelbagai ciri moden yang canggih dan premium.
Bermula dengan trenkuasa, Voge DS900X (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 895 cc, 2 Silinder, 8 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper' dan 'Quickshifter'.
Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 96.5 Hp @ 8,250 rpm dan tork 95 Nm @ 6,000 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork depan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal (belakang).
Sistem henti pula dipadankan dengan brek cakera kembar bersaiz 305 mm dengan kaliper Brembo (depan) dan cakera tunggal 265 mm (belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
Berikut kami senaraikan ciri-ciri menarik dan informasi lain:
Sistem penghidup tanpa kunci (keyless).
Kamera pemuka depan.
Tiga soket pengecas jenis Type-A, Type-C dan 12V.
Lampu kecemasan
Sistem radar dengan indikator amaran cermin sisi.
Set roda 90/90-21 (depan) dan 150/70-17 (belakang) dengan rim jenis jejari tanpa tiub.
Tangki bahan api 17 liter.
Sistem Kawalan Traksi (TCS)
Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS)
Sistem Kawalan Jelajah (Auto Cruise)
Empat mod tunggangan: Rain, Road, Sport dan Enduro.
Panel meter digital TFT berwarna 7 inci lengkap dengan sambungan telefon pintar
Sistem LED penuh
Visor angin boleh laras
Pad kaki jenis antigelincir.
Pemanas grip terotel, pelana.
Berat 222 kg
Tinggi pelana 835 mm
Jarak lega bumi 190 mm
Sebagai tambahan, yang boleh dianggap sebagai menarik, motosikal ini turut datang dengan 'hand guard', 'crash bar', plat pelindung enjin, lampu kabus dan tiga kotak simpanan belakang secara standard.
Menurut Voge, dengan segala yang dimiliki oleh Voge DS900X (2025), ia menawarkan keseimbangan antara kuasa dan kecekapan bagi penggemar aktiviti penjelajahan jarak jauh dan off-road
Seperti diketahui, motosikal Voge di pasaran Malaysia dipasang dan diedarkan oleh syarikat MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Menurut MForce, Voge DS900X (2025) sudah boleh didapati menerusi rangkaian pengedar rasmi jenama itu seluruh negara.
Seperti biasa, setiap pembelian berpeluang menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh VOGE Malaysia.












