VOGE FR150 Formica Rossa (2024) Rasmi Masuk Kedai!

TERKINI

9/8/20241 min read

TEKA-teki terhadap persoalan bila kapcai 'super' terbaharu di pasaran, Voge FR150 Formica Rossa (2024) akan berada di pasaran terjawab apabila pengedarnya, MForce Bike Holdings Sdn Bhd (MForce Bike) mengumumkan penantian itu bakal berakhir, esok (Isnin 9 September 2024).

Seperti diketahui, Voge FR150 Formica Rossa (2024) yang terhasil daripada kerjasama syarikat pengeluar motosikal China dan MForce diperkenalkan ketika Malaysia Autoshow (2024), Mei lalu.

Apa yang menarik, pelancaran Voge FR150 Formica Rossa (2024) di Malaysia yang berkemungkinan turut dipasarkan di luar negara adalah yang pertama di peringkat global.

Berentap dalam segmen cukup kompetitif yang diisi pelbagai jenama Jepun antaranya Yamaha Y15ZR, Y16ZR, Honda RS-X, SYM Vf3i, Voge FR150 Formica Rossa (2024) diumumkan pada harga (asas) yang dianggap menarik iaitu RM 8,888.

Ketika sesi tunggang uji ringkasnya di Litar Horizon, pelbagai maklum balas yang menarik diterima tetapi apa yang menarik, ia dikatakan 'tidak kalah' dengan pesaing-pesaingnya yang ada di pasaran.

Dan apa yang menariknya, motosikal ini dikatakan sudah menerima tempahan lebih daripada 5,000 unit.

Selain tampil dengan rekaan cukup futuristik dan unik, antara ciri-ciri menarik yang dipadankan kepada Voge FR150 Formica Rossa (2024) adalah seperti 'Slipper Clutch', Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), dan Kunci pintar.

Di bahagian trenkuasa, Voge FR150 Formica Rossa (2024) dipadankan dengan enjin 150 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan lengkap 'klac slipper', ciri-ciri menarik lain termasuklah sistem brek ABS depan dan belakang, terotel badan 32 mm dan pelbagai lagi.