VOGE Malaysia Terima Lebih 3k Tempahan Voge SR450X, Mendarat Sekitar Ogos?

Daripada risikan yang diperoleh, sambutan terhadap Voge SR450X yang diumumkan pada tanda harga RM 29,888 (asas) dikatakan cukup menggalakkan

TERKINI

6/28/20261 min read

TAK dapat dinafikan skuter bergaya 'Adventure' yang dipacu enjin 2 Silinder, Voge SR450X menjadi antara model yang menjadi bualan sejak ia dilancarkan pada acara MotoXperience 2026 sempena MBS 2026, bulan lalu.

Dan pada minggu lalu, pihak Voge Malaysia menganjurkan sesi tunggang uji pertama membabitkan pihak media dan pempengaruh di ibu pejabatnya di Pulau Pinang.

Begitupun, ia hanya sesi tunggang uji ringkas namun apa yang menarik, maklum balas awal yang diterima cukup positif.

Daripada risikan yang diperoleh, sambutan terhadap Voge SR450X yang diumumkan pada tanda harga RM 29,888 (asas) dikatakan cukup menggalakkan.

Malah menurut maklumay, setakat ini, lebih daripada 3k tempahan sudah pun diterima pihak Voge Malaysia untuk skuter berkenaan dengan pihak MForce Bike sedang bekerja keras menyiapkan skuter ini dengan tarikh tiba di kedai pun sudah ada iaitu pada Ogos depan.

Seperti diketahui, Voge SR450X membuat debut globalnya pada pameran EICMA November tahun lalu dan kehadirannya di MBS 2026 menyaksikan Malaysia menjadi antara negara pertama memperolehnya di pasaran antarabangsa.

Tidak seperti kebanyakan skuter bersesaran bawah 500 cc, Voge SR450X uniknya dipacu oleh enjin bersesaran 398 cc, 2 Silinder, Penyejukan Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi automatik.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 41.85 Hp pada 8,000 rpm serta tork 44 Nm pada 5,750 rpm.

Menariknya, konfigurasi 2 silinder ini memberikan kelebihan ketara dari segi kelancaran penghantaran kuasa, menjadikannya responsif ketika mengharungi kesesakan trafik di ibu kota, namun tetap bertenaga untuk pemanduan santai atau 'touring' di lebuh raya pada hujung minggu.